Sabah FC macam tak belajar dari 2 kelab Lembah Klang, penyerang flop Liga M jadi pengganti Ramon Machado


  • Podium
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Caion (kanan) hanya meledak 1 jaringan dalam 10 penampilannya bersama Chonburi. — Instagram/Caion

KEHILANGAN penyerang import utama Sabah FC, Ramon Machado ke saingan Liga Perdana Azerbaijan dengan menyertai Araz-Nakhchivan pada Julai lepas memang dirasai oleh skuad The Rhinos.

Malah, pengendali pasukan Sabah, Datuk Ong Kim Swee juga akui bahawa pasukannya agak bergelut setelah ketiadaan penyerang yang mampu mencipta jaringan dengan lebih efektif seperti Ramon.

Bahagian serangan The Rhinos bertambah membimbangkan Kim Swee apabila dua pemain hadapan mereka iaitu Darren Lok dan Saddil Ramdani juga ditimpa isu kecederaan dan difahamkan masih bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik mereka.

BACA LAGI: Selangor terlepas, Ramon Machado kembali ke Liga Azerbaijan

BACA LAGI: [VIDEO] Cifu antara 3 bintang 'terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau' musim ini

Sehubungan itu, Kim Swee tanpa berselindung menyatakan hasratnya untuk mendapatkan khidmat penyerang yang baharu bagi memastikan Sabah mampu mempamerkan aksi lebih konsisten sehingga penghujung musim nanti.

Antara nama yang dikaitkan sedang berada dalam radar The Rhinos menjelang jendela perpindahan kedua musim ini ialah bekas pemain Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC, Herlison Caion.

Penyerang itu dilepaskan Gergasi Merah selepas mencetak 24 gol dan tujuh hantaran bantuan dalam 33 aksi domestik Caion diturunkan. Kemudian, prestasinya ketika bersama The City Boys semakin menurun dengan hanya meledak satu gol dalam 16 perlawanan pada musim 2023.

Selepas berkelana di dua saingan Liga M, penyerang berusia 33 tahun berkenaan menyertai kelab Vietnam, Hanoi FC selama satu musim (Jun 2023 - Januari 2024) dan memutuskan untuk menyarung jersi Choburi FC pada 15 Januari 2024.

WhatsApp Image 2024-08-12 at 15.10.24

Ramon menyumbang 12 gol dalam 17 perlawanan dalam semua pertandingan musim 2023. — Facebook/SabahFC

Namun segalanya seperti tidak menjadi buat Caion di Liga Thailand apabila hanya meledak 1 jaringan dalam 10 penampilannya bersama Chonburi. Bahkan, kontraknya juga tidak disambung pihak pengurusan dan meninggalkan kelab pada awal bulan Julai ini.

Kerjaya asyik berpindah-randah dan rekod tidak memberangsangkan bersama beberapa kelab itu menimbulkan persoalan sama ada penyerang kelahiran Brazil itu berbaloi untuk dibawa masuk ke kem The Rhinos.

Selain Caion, pasukan Borneo tanah air berkenaan juga dikatakan sedang mempertimbangkan arkitek Tajikistan, Alisher Shukurov bagi membantu bahagian tengah pasukan menjelang pusingan kedua Liga Malaysia nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram