TEMASYA Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang selepas 19 hari aksi sukan bertaraf dunia itu berlangsung.
Menariknya penutupan tersebut, aksi pelakon Top Gun, Tom Cruise yang melompat dari bumbung Stadium Stade de France menjadi gimik penutupan temasya berprestij tersebut.
Sebaik ‘mendarat’ dari terjunan setinggi kira-kira 48 meter itu, Cruise berlari membawa bendera Olimpik dalam satu penyerahan yang dramatik sekaligus menandakan detik bermulanya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
BACA LAGI: [VIDEO] Kelincahan, skil anak kelahiran Sandakan ubati rindu Sang Badak terhadap Saddil
BACA LAGI: Sokong Amirul letak jawatan, ramai lagi yang layak — Hafifi Mansor
Begitupun, sepanjang temasya itu berlangsung, terdapat kejadian yang boleh dianggap 'aneh' atau mencuit hati sempat mencuri tumpuan mata dunia.
Dalam pada itu, berikut Majoriti menyenaraikan tiga kejadian mencuit hati yang menghiasi temasya tersebut.
Detik-detik sebelum 'bencana' menimpa Ammirati. — Agensi
1. Atlet lompat bergalah gagal kerana peristiwa lucu
Atlet lompat bergalah Perancis, Anthony Ammirati, melihat impiannya di pentas Sukan Olimpik Paris berakhir dengan faktor yang dianggap tidak masuk akal.
Atlet berusia 21 tahun yang bertanding di hadapan penonton tuan rumah, kelihatan bersedia untuk melepasi 5.70 meter dan mengorak langkah ke arah final, sebelum 'bencana' melanda.
Ketika atlet Perancis itu bersedia untuk melepaskan galahnya, alat kemaluannya sendiri menjatuhkan palang ke lantai, sekali gus menamatkan harapannya untuk memperoleh pingat.
Ammirati sebelum itu sudah melepasi dua ketinggian sebelum bonjolannya membawa penamat pramatang di temasya berprestij itu.
Ammirati akhirnya menduduki tempat ke-12 dengan mencatat ketinggian 5.60 m dalam Kumpulan A.
Atlet renang dilihat tidur di atas rumput di luar kawasan Perkampungan Olimpik. — Agensi
2. Atlet renang tidur di halaman
Pemenang pingat emas Olimpik 2024, Thomas Ceccon dilihat tidur di atas rumput di luar kawasan Perkampungan Olimpik selepas mengadu mengenai katil yang tidak selesa dan kekurangan penghawa dingin.
Perenang Itali yang memenangi acara 100 meter kuak lentang itu dilaporkan sukar untuk tidur di bilik yang disediakan penganjur kerana terlalu panas.
Ceccon memenangi emas untuk Itali dalam acara akhir 100 meter kuak lentang, namun gagal mara ke peringkat akhir 200 m dalam acara tersebut.
Selain katil yang tidak selesa, Ceccon turut mendakwa makanan yang disediakan mengecewakan, dan mengakui dia turut bergelut dengan cuaca panas serta bunyi bising di perkampungan atlet di Paris.
Atlet berbasikal didapati terkena kamera perangkap laju. — Agensi
3. Atlet berbasikal lepasi had kelajuan
Atlet Switzerland, Stefan Kung didapati terkena kamera perangkap laju dalam satu perlumbaan jalan raya Olimpik Lelaki.
Menariknya aksi tersebut, ketika Stefan Kung sedang mengetuai perlumbaan itu, kamera di tengah jalan secara tiba-tiba mengeluarkan pancaran cahaya dipercayai akibat kelajuan basikal sedang ditunggangi atlet berkenaan.
Steven yang terkejut dengan pancaran cahaya itu sempat menoleh ke belakang kerana terkejut dengan kamera perangkap laju berkenaan.
Kejadian itu mencuri tumpuan orang ramai yang beranggapan bahawa atlet berbasikal juga akan disaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram