NAMA Safawi Rasid kini dalam pembikinan untuk menjadi sebahagian daripada legenda moden Harimau Malaya.
Pemain sayap Terengganu FC itu sudah menghasilkan 22 gol sepanjang bersama skuad kebangsaan. Jumlah itu meletakkan dia berada di kedudukan kelapan penjaring terbanyak Malaysia sepanjang zaman.
Safawi kini berada di belakang dua bekas penyerang negara iaitu Safee Sali dan James Wong dengan masing-masing mengumpul 23 gol.
BACA LAGI: Di saat Akhyar-Safawi jadi sandaran Terengganu, ramai harap Selangor turunkan bintang kian dilupakan
BACA LAGI: Perangai budak-budak Safawi Rasid gagal kekang Selangor, lebih layak ke final jumpa Kedah atau JDT
Permainan Safawi semakin baik sejak kerap bermain dengan Terengganu.
Mampukah Safawi memintas dua pemain legenda itu ketika perlawanan akhir Pestabola Merdeka bertemu Lubnan pada Ahad?
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, T. Avineshwaran, peluang itu boleh hadir sekiranya Harimau Malaya berjaya memperoleh peluang mencipta gol menerusi situasi bola mati terutamanya sepakan percuma.
Namun begitu, Safawi harus berhati-hati dengan kehebatan penjaga gol Lubnan iaitu Mehdi Khalil yang mempunyai ketinggian hampir 2 meter.
"Dia boleh mendapatkan jaringan sekiranya Malaysia memperoleh set-piece. Bagi saya, rembatan satu langkahnya itu cukup berbahaya.
"Tapi apabila menentang Lubnan, ia pastinya lebih sukar kerana mereka adalah lawan lebih sukar berbanding Filipina. Selain itu, jangan lupakan Mehdi Khalil, seorang penjaga gol yang ketinggiannya hampir 2 meter. Ia pastinya mencabar, tapi jangan pernah berhenti untuk mencuba," kata Avinesh kepada Majoriti.
Melihat kepada potensi untuk memintas rekod jaringan Safee dan James, Avinesh berasakan Safawi ada peluang untuk memperoleh jumlah jaringan lebih tinggi seperti 30 gol dan ke atas.
Tapi dengan satu syarat, Safawi harus mendapatkan minit permainan yang konsisten bersama kelabnya dan Terengganu menjadi bukti dia mampu kembali ke tahap permainan terbaik.
"Pada usia 27 tahun, semestinya dia masih boleh untuk menjaringkan lebih daripada 30 gol tapi dia perlukan minit permainan dan itu yang diperoleh Safawi bersama Terengganu.
"Dia cuma kena kerap bermain, dapatkan minit permainan, dapatkan sentuhan jaringan menerusi situasi bola mati," ujar Avinesh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram