Kem Selangor malang lagi, 3 ubi muda jadi taruhan jika Reziq Bani cedera teruk


  • Podium
  • Rabu, 05 Jun 2024

Antara aksi Reziq Bani (kanan) menentang Persija sebelum diterjah pemain lawan. — Facebook/SelangorFC

BARU sempat membuka akaun gol Liga Super pada 26 Mei lalu ketika Selangor menang 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC), Reziq Bani Hani dikhuatiri tidak dapat mencetak lebih banyak gol buat masa ini selepas dilaporkan mengalami kecederaan.

Reziq Bani difahamkan mengalami kecederaan ketika perlawanan akhir menentang Persija Jakarta bagi kejohanan RCTI Sports Premium 2024 pada Ahad, yang menyaksikan Gergasi Merah melakar kemenangan 1-0.

Pemain kebangsaan Jordan Bawah 23 tahun itu diterjah pemain skuad Kemayoran Tigers sehingga memaksa Nidzam Jamil untuk memasukkan Mukhairi Ajmal menggantikan Reziq Bani pada minit ke-37 bagi mengurangkan risiko kecederaan yang dialaminya.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Indonesia 'berdekah' tengok bas Selangor sangkut bawah jambatan

BACA LAGI: Naik kerusi roda ambil pingat, giliran Reziq Bani pula 'berehat'

Status kecederaan penyerang berusia 22 tahun berkenaan semakin meresahkan penyokong Gergasi Merah apabila tular gambar Reziq Bani menaiki kerusi roda ketika upacara penyampaian pingat dan trofi RCTI Premium Sports.

Walaupun belum ada sebarang info lanjut mengenai kecederaan menimpa pemain antarabangsa Jordan itu namun penyokong sudah mula membayangkan ketempangan bahagian serangan Gergasi Merah.

Masakan tidak, kelab Lembah Klang berkenaan kini kehilangan dua penyerang sayap iaitu Faisal Halim dek kes simbah asid dan termasuklah Reziq Bani yang belum pasti status kecederaannya.

Menjelang perlawanan pembuka tirai Piala FA menentang Negeri Sembilan pada 15 Jun ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain muda yang wajar menjadi pilihan Nidzam untuk mengisi kekosongan sekiranya Reziq Bani perlu berehat akibat kecederaan itu;

1) Danial Asri

danial

Danial mula menyertai pasukan utama Selangor pada musim 2021. — Facebook/SelangorFC

Calon pertama dilihat sesuai untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengganti Reziq Bani buat sementara waktu ialah Danial Asri, yang pernah diangkat sebagai seorang permata bersinar buat skuad Gergasi Merah.

Selepas mencipta debut empat tahun lalu, anak jati Rawang, Selangor itu bagaimanapun masih belum dapat mengekalkan peranannya sebagai pemain tetap susulan kebergantungan Gergasi Merah terhadap import.

Ia dibuktikan dengan penurunan dari segi minit permainannya bersama pasukan senior pada musim 2022 dan 2023 apabila Danial sekadar menjadi pemain gantiannya dan bukannya berada dalam kesebelasan utama.

Penyerang sayap kiri berusia 24 tahun itu masih belum berkesempatan untuk membuat penampilan pertama pada musim ini dan kecederaan Reziq Bani ini sekurang-kurangnya menjadi peluang untuk nama Danial kembali disebut-sebut penyokong.

2) Harry Danish

harry

Harry Danish berperanan sebagai penyerang. — Facebook/SelangorFC

Nama Harry Danish Haizon masih agak asing buat penyokong Selangor FC kerana pemain muda berkenaan masih belum berkesempatan mencipta debut bersama Gergasi Merah sejak dinaikkan pangkat pada musim ini.

Pemain kelahiran Meru, Klang, Selangor berkenaan sudah dinaikkan pangkat beraksi dalam skuad utama Liga Super selepas cemerlang bermain untuk skuad Piala Presiden pada musim lepas.

Walaupun peranan semasa Harry Danish di bahagian sayap kanan, pemain berusia 20 tahun berkenaan pasti tidak mempunyai masalah untuk beraksi sebagai penyerang sayap kiri bagi memastikan dia mendapat kesempatan beraksi bersama skuad utama.

Untuk rekod, Nidzam pernah memberi ruang buat Harry Danish beraksi bersama skuad utama dalam kejohanan Asia Challenge Cup 2024 dan ia boleh dianggap sebagai pendedahan yang bermanfaat buatnya.

3) Mukhairi Ajmal

mukh

Mukhairi boleh beraksi sebagai sayap kiri dan pemain tengah. — Facebook/SelangorFC

Pada awalnya, Mukhairi Ajmal dicanang sebagai pengganti utama Faisal Halim namun kelibat Reziq Bani jauh lebih menyerlah berbanding pemain itu walaupun bintang Jordan berkenaan diturunkan sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan awal ini.

Mukhairi yang berperanan sebagai pemain tengah sebelum ini pernah beraksi di posisi sayap semasa bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe memegang skuad Gergasi Merah pada musim lalu.

Malah, Mukhairi merekodkan statistik agak memberangsangkan bersama Gergasi Merah dengan merekodkan tujuh gol dan empat hantaran bantuan dalam semua perlawanan dia diturunkan pada musim 2023.

Pemain berusia 22 tahun berkenaan ada potensi akan menjadi pilihan teratas Nidzam kerana pengalaman yang dimiliki bersama Gergasi Merah namun semuanya terletak kepada barisan kejurulatihan Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram