Cemerlang ikat Korea Selatan, GK Palestin boleh direbut Perak, Sabah


  • Podium
  • Ahad, 08 Sep 2024

Rami Hamadeh beraksi cemerlang ketika Palestin mengikat Korea Selatan di Seoul.

PUSINGAN ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 sudah bermula dengan 18 negara Asia merebut tempat untuk ke kejohanan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Kejutan di perlawanan pertama kelayakan menyaksikan Palestin berjaya mengikat Korea Selatan 0-0 di Seoul, Korea Selatan bagi memulakan kempen dengan baik.

Salah satu daripada persembahan baik oleh Palestin hadir daripada penjaga golnya iaitu Rami Hamadeh. Dengan jendela perpindahan Liga Super masih dibuka, mungkin ada beberapa kelab boleh menawarkan tempat untuk beraksi di Malaysia.

BACA LAGI: Gandingan Fazail, Lambert antara pasangan adik-beradik masih aktif di Liga Super

BACA LAGI: Malaysia pilihan Palestin adakan perlawanan kelayakan Piala Dunia berdepan Jordan

Kelantan Darul Naim

Salah satu kelab yang boleh dituju oleh Hamadeh adalah dengan menyertai Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Pantai Timur.

Merupakan kelab tercorot Liga Super ketika ini, mungkin khidmat Hamadeh boleh diharapkan untuk membantu Kijang Emas kembali ke landasan terbaik dan membaiki kedudukan.

458524086_1544300616209431_8539543778451225706_n

Hamadeh boleh menyertai DNA Palestin di KDN.

Ditambah pula, KDN turut mempunyai dua pemain Palestin iaitu pasangan adik-beradik Oday dan Layth Kharoub. Mungkin, mereka boleh memujuk Hamadeh untuk ke Pantai Timur.

Jika Selangor FC kuat dengan DNA Jordan, mungkin KDN boleh membangunkan DNA Palestin pula.

Perak

Salah satu destinasi yang juga boleh dituju oleh Hamadeh sekiranya ingin berkelana di Malaysia adalah ke Perak FC.

Skuad Seladang yang turut mengalami masalah prestasi mungkin boleh membaiki suasana tersebut dengan merekrut penjaga gol baharu.

Dengan pengalaman luas dimiliki Hamadeh, penjaga gol berusia 30 tahun itu dilihat boleh membantu menguatkan pintu gol Perak yang sudah dibolosi 13 kali dalam saingan liga.

Hamadeh juga boleh menambah pengalaman terhadap unit penjaga gol Perak kerana rata-rata pemain di posisi itu adalah masih muda.

458512626_1544295136209979_113851564423517607_n

Hamadeh tidak pernah beraksi di liga luar selain Palestin.

Sabah

Kelab terakhir yang boleh dikaitkan dengan Hamadeh adalah Sabah FC yang juga mengalami masalah untuk kekal konsisten di bahagian pertahanan.

Kehadirannya boleh memberikan cabaran buat Khairul Fahmi Che Mat di pintu gol ditambah pula dengan Damien Lim yang masih cedera.

Sabah berpotensi menjadi destinasi menarik buat Hamadeh memandangkan dia tidak pernah beraksi selain di Liga Palestin.

Mungkin dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri baik beraksi untuk KDN, Perak atau Sabah. Tapi jika dia benar mahu menyertai salah satu kelab, apa salahnya? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram