SATU berita agak mengejutkan diterima penyokong Selangor FC apabila pemain import mereka, Reziq Bani Hani sah meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan kali ini.
Dia yang disambar pada awal musim sering memberikan kenangan manis buat kelab Lembah Klang itu meskipun kerap dimasukkan pada penghujung permainan sebagai penyerang sayap.
Namun, peluang terhad itu disambar sebaik mungkin oleh pemain berusia 22 tahun berkenaan yang merekodkan dua gol dan satu bantuan jaringan daripada 10 penampilan buat skuad Gergasi Merah.
BACA LAGI: Penyerang 'free agent' Jordan, peluang ikut jejak langkah Reziq, Rawabdeh?
BACA LAGI: Kem Selangor malang lagi, 3 ubi muda jadi taruhan jika Reziq Bani cedera teruk
Meskipun catatan tersebut tidaklah begitu memberangsangkan, gaya permainan Reziq yang pantas serta mengelirukan lawan membuatkannya amat diperlukan Selangor FC.
Tetapi, atas faktor tertentu, kapten skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Jordan itu memilih untuk pulang ke negara asalnya berdasarkan pengumuman dibuat pada awal pagi Rabu.
Reziq dilaporkan bakal menyertai juara bertahan Liga Perdana Jordan, Al Hussein SC yang bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 musim ini.
Menariknya, pasukan itu meletakkan bekas bintang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud al-Mardi sebagai tonggak pasukan selepas menyertai mereka pada 2023.
Al-Mardi merupakan tonggak utama ketika Al Hussein SC menjuarai Liga Perdana Jordan. — Instagram/Mahmoud Al-Mardi
Kehadirannya membolehkan kelab tersebut menjulang kejuaraan tersebut buat kali pertama dalam sejarah penubuhan mereka dengan hantaran serta kreativitinya cukup membantu barisan serangan pasukan.
Jadi, tidak hairanlah apabila segelintir penyokong Hijau Kuning masih mengharapkan kepulangannya pada masa-masa akan datang, lebih-lebih lagi dengan usianya baru sahaja mencecah 30 tahun.
Bagaimanapun, dengan kemasukan Reziq hanya memperkuatkan Al Hussein SC, Mahmoud sudah pasti enggan melepaskan peluang beraksi di samping pemain muda itu.
Untuk rekod, pasukan berkenaan bakal bertemu Shabab Al-Ahli (UAE), Nasaf (Uzbekistan) dan Al-Kuwait (Kuwait) dalam peringkat kumpulan AFC2 bagi Zon Barat yang akan berlangsung tidak lama lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram