[VIDEO] Lebih hebat berbanding atlet Olimpik, peserta tanpa kaki kiri Poland lepasi ketinggian 1.77 meter


  • Podium
  • Isnin, 09 Sep 2024

Atlet dari Poland itu berjaya melepasi ketinggian 1.77 meter dalam acara lompat tinggi Sukan Paralimpik 2024. — Agensi

SUKAN Paralimpik 2024 menyajikan peminat dengan adegan atau momen yang luar biasa daripada wakil-wakil atlet daripada pelbagai negara.

Malah, kekurangan dari segi fizikal yang kita lihat dari mata kasar merupakan kelebihan bagi seseorang atlet.

Antara kekurangan fizikal yang sering kita lihat adalah cacat penglihatan, cacat pendengaran, cacat anggota, terencat akal, spastik dan orang kerdil.

BACA LAGI: [VIDEO] Sukan Paralimpik 2024: Bonnie pecah rekod dunia lagi

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal dalam bola sepak, maruah Kelantan terletak di bahu sepak takraw — Pengurus

Dalam pada itu, tidak hairanlah sekiranya individu yang memiliki kekurangan sebegitu mampu membuat kita terpukau dengan persembahan yang ditampilkan.

Menerusi satu hantaran video yang dikongsikan Cikgu Anep di media sosial, kelihatan seorang atlet yang kehilangan kaki kirinya dalam satu acara lompat tinggi mencuri tumpuan dunia.

Menurutnya, ramai yang salah faham dan beranggapan bahawa Sukan Paralimpik merupakan acara yang mudah namun ia sebenarnya sebaliknya.

"Ramai orang salah faham, mereka ingatkan Sukan Paralimpik adalah untuk atlet yang kurang upaya, hakikatnya, Paralimpik sebenarnya adalah Sukan Olimpik versi lagi susah,respect kepada semua atlet Paralimpik," katanya di X.

Menerusi video tersebut, salah seorang atlet berjaya menunjukkan ketabahan dan kekuatan untuk melepasi cabaran dalam acara lompat tinggi meskipun kehilangan salah satu anggota badan.

Hal ini kerana, umum mengetahui acara lompat tinggi tersebut pastinya menentukan ketinggian sebagai penentu kejayaan. Sekiranya seseorang tidak memiliki ketinggian yang ideal, sudah pasti dia akan berdepan dengan cabaran yang sukar.

Bagaimanapun, Lukasz Maciej Mamczarz berjaya membuat penonton terpukau dengan kerja keras dan usahanya untuk melepasi ketinggian 1.77 meter dalam kategori T63 (atlet yang terjejas kekurangan anggota badan).

Dilaporkan, dia kehilangan kaki kirinya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada 2009.

Dalam video tersebut, sebelum dia memulakan aksi dalam acara tersebut, Lukasz sempat meminta agar penonton memberikan tepukan gemuruh untuk dia lebih bersemangat.

Usai menerima tepukan gemuruh tersebut, atlet dari Poland yang menggunakan baju warna putih merah itu terus melakukan lompatannya dengan mudah.

Meskipun gagal meraih pingat emas, Lukasz berjaya meninggalkan salah satu imej yang menarik di hati penonton seantero dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram