Jangan hanya salahkan kerajaan, layanan adil atlet para perlu disemai di peringkat dasar


  • Podium
  • Ahad, 08 Sep 2024

Atlet yang mewakili negara dalam temasya Paralimpik 2024 perlu diberikan layanan adil dalam pelbagai aspek. — MSN

KEJAYAAN demi kejayaan terus dicatatkan atlet negara dalam temasya Paralimpik Paris apabila empat pingat, termasuk dua emas sudah diraih setakat ini.

Pencapaian pemain badminton, Cheah Liek Hou dan atlet angkat berat, Bonnie Bunyau dalam acara masing-masing sudah cukup untuk memberikan kegembiraan buat penyokong di tanah air.

Malah, kecemerlangan di bumi Perancis juga sudah tentu menyaksikan mereka meraih habuan berbaloi seperti mana pernah dijanjikan Majlis Sukan Negara (MSN) atau mana-mana organisasi sebelum temasya itu bermula.

BACA LAGI: Mahu terbang jauh, atlet pecut paralimpik Negeri Sembilan idam emas di temasya SUKMA

BACA LAGI: ‘Itulah sikap atlet sebenar’, bekas jurulatih puji semangat Ziyad Zolkefli raih perak di Paralimpik

WhatsApp Image 2024-09-07 at 4.04.07 PM

Bonnie menghadiahkan pingat emas kedua negara dalam Paralimpik Paris.

Bagaimanapun, di sebalik keraian itu, timbul sedikit kegusaran apabila sebahagaian pengikut sukan para risau kejayaan wakil negara itu akan dilupakan selepas mereka menamatkan karier.

Isu itu bukanlah perkara baharu apabila sebelum ini, terdapat beberapa atlet terpaksa berpatah arang untuk menampung perbelanjaan harian selain berjuang demi mempertahankan hak masing-masing.

Persoalannya, adakah wajar untuk menyalahkan mana-mana pihak, terutamanya MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sekiranya sumbangan mereka yang sudah mengharumkan nama negara dilupakan pada tahun-tahun akan datang?

Bagi bekas ketua jurulatih atlet para kebangsaan, R Jaganathan, adalah tidak wajar untuk menyalahkan mana-mana pihak berhubung perkara tersebut kerana kesedaran perlu disemai dalam kalangan masyarakat terlebih dahulu.

WhatsApp Image 2024-09-07 at 4.03.21 PM

Jaganathan (tengah) merupakan bekas jurulatih atlet pecut para negara, Ridzuan Puzi (kiri).MSN

Menurutnya, contoh terbaik boleh disaksikan di sekitar Eropah apabila layanan mereka terhadap golongan orang kelainan upaya (OKU) lebih baik berbanding dalam negara ini.

"Ini pandangan saya secara berterus terang kerana saya sudah menetap di Jerman dan Australia dan saya lihat golongan itu diberikan pelbagai keistimewaan. Kita tidak boleh mempersoalkan kerajaan kerana perlu ditanya, adakah kita sendiri menghormati mereka?

"Misalnya, di Eropah, apabila saya bersama atlet para dahulu, pemandu bas akan turun dan memberikan bantuan dengan meletakkan kerusi roda ke tempat sepatutnya.

"Selepas itu, selepas masuk sahaja kenderaan awam, penumpang lain tidak perlu diberitahu kerana mereka sendiri akan ke belakang supaya golongan OKU dapat duduk di kawasan sepatutnya," katanya kepada Majoriti.

A blind woman getting help by her partner to cross the road at Brickfields. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Kesedaran dalam mengurangkan beban golongan OKU penting dalam kalangan masyarakat.

Menurut Jaganathan lagi, layanan cukup baik juga sudah diberikan pihak kerajaan terhadap atlet dalam kategori tersebut apabila insentif sama rata sudah disediakan KBS dan MSN.

Dia boleh dikatakan tulang belakang terhadap pembangunan sukan para dalam negara apabila dia melahirkan beberapa pemenang pingat emas Paralimpik seperti Ziyad Zolkefli dan Ridzuan Puzi.

Bagaimanapun, sumbangannya dalam bidang tersebut berakhir dua tahun lalu selepas jurulatih berkenaan mengambil keputusan meninggalkan Majlis Paralimpik Malaysia selepas berpuluh tahun mengerah keringat.

Tambahnya, kejayaan dalam temasya Paralimpik kebelakangan ini membolehkan layanan dan pujian diberikan orang ramai kepada wakil negara meskipun terdapat beberapa kemenangan diraih dalam kejohanan antarabangsa.

jaganathan

Jaganathan mengakui pandangan berbeza sudah diberikan kepada atlet para hari ini.Stadium Astro

"Mata rakyat kita terbuka terhadap atlet para bermula 2016 apabila kami membawa pulang tiga pingat emas dari Paralimpik Rio. Tetapi, sebelum itu, pelbagai kejayaan di peringkat dunia sudah dikecapi tetapi kurang dipandang," katanya.

Ketika ini, perubahan sudah dapat disaksikan apabila majoriti daripada peminat sukan negara tidak lagi membezakan pencapaian atlet dalam kategori para mahupun tidak.

Perasaan itu pasti membawa kelegaan buat mereka yang terlibat dalam sukan paralimpik, termasuk Jaganathan yang tidak mahu menyaksikan diskriminasi dalam kalangan atlet. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram