KEM Kedah Darul Aman (KDA) FC terus bertiup kencang apabila dikhabarkan bakal kehilangan khidmat penjaga gol ketiga, Fikri Che Soh dalam jendela perpindahan kedua liga yang sudah pun dibuka.
Ia berikutan selepas penjaga gol utama Sang Kenari, Kalamullah Al-Hafiz menerusi InstaStory, mendedahkan seolah-olah Fikri akan meninggalkan kelab berkenaan dalam masa terdekat.
Fikri sebelum ini menyertai KDA FC daripada Kelantan Darul Naim pada penghujung 2022.
BACA LAGI: Bahang kehangatan aksi gulung bermula, Klinik STL 2024 gegar sekolah, negeri terpilih
BACA LAGI: Jendela perpindahan kedua tawar talian hayat buat Selangor FC?
Tangkap layar Insta Story Kalamullah. — Instagram/kalamullah_22
"Good luck Yie, ada rezeki bersama lagi," katanya di Instagram.
Bagaimanapun, destinasi seterusnya penjaga gawang berusia 26 tahun itu belum dapat dipastikan.
Bersama Sang Kenari, melihat kepada Transfermarkt anak kelahiran Kelantan itu bergelut untuk mendapatkan tempat dengan tidak mencatat sebarang minit permainan untuk musim ini.
Sudah pasti kekurangan minit permainan menjadi faktor utama Fikri mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab yang berpangkalan di Utara tanah air itu.
Sebelum ini, kelab yang sedang mengalami masalah tunggakan gaji itu nampaknya akan kehilangan penjaga gol utama iaitu Kalamullah Al-Hafiz serta pertahanan veteran, Rizal Ghazali.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini, Sang Kenari dilaporkan sudah kehilangan pemain tengah iaitu Habib Haroon yang berhijrah ke negara asalnya iaitu Bahrain dengan menyertai Sitra.
Kini, terdapat beberapa nama lain yang turut dijangka meninggalkan Kedah lebih-lebih lagi jendela perpindahan sudah dibuka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram