Dikaitkan dengan pemain import bersara, Kelantan Darul Naim FC mahu rombak serangan pasukan?


  • Podium
  • Selasa, 06 Ogos 2024

KDN FC dilaporkan akan mendapatkan khidmat pemain Brazil, Casagrande menjelang tirai perpindahan kedua Liga M.

KEHANGATAN jendela perpindahan kedua Liga Super semakin terasa selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC telah mengumumkan kehadiran pemain import baharu bagi meneruskan perjuangan mereka bagi musim 2024-2025.

JDT membawa masuk tiga pemain baharu iaitu Enzo Lombardo (Perancis), Christian Abad Amat (Sepanyol-Malaysia) dan Park Jun-heong (Korea Selatan).

Manakala Selangor pula memperkenalkan penyerang sensasi Jordan, Ali Olwan bagi terus memperkuatkan bahagian serangan Gergasi Merah di pentas Asia.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Jordan label Ali Olwan antara pemain terbaik Asia, 'good signing' buat Selangor FC

BACA LAGI: [VIDEO] Tetap bangga, 4 pencapaian hebat skuad hoki negara walaupun kemarau 24 tahun ke Olimpik

Dengan pengumuman dua gergasi Liga Malaysia itu, ia secara tidak langsung menghadirkan minat buat pasukan lain untuk membawa import baharu meskipun kedudukan kewangan kelab tidak berada di tahap yang baik.

Sebuah kelab Pantai Timur dikhabarkan berminat untuk membawa bekas pemain import Penang FC, Casagrande bagi memperkuatkan bahagian serangan mereka selepas hanya mampu menghasilkan empat gol daripada tujuh perlawanan.

Pasukan itu ialah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) yang telah membawa masuk sembilan pemain import dengan sebahagian daripadanya hadir dari Korea Selatan.

Namun begitu, pengendali Kijang Emas, Park Jae-hong masih memerlukan ketajaman Casagrande bagi membantu bahagian serangan pasukan.

Pemain berusia 38 tahun itu mempunyai rekod jaringan yang baik dalam Liga Malaysia selepas beraksi di negara ini sejak 2016.

Sepanjang beraksi dalam Liga Malaysia, bekas pemain Kuala Lumpur itu menjaringkan 66 gol bersama lima buah pasukan yang berbeza.

Namun menjadi persoalan adakah khabar angin itu benar? Ini kerana menerusi laman web Transfermarkt, Casagrande dikhabarkan sudah bersara daripada bola sepak sejak Februari lalu.

Menerusi posting terbaharu Casagrande, pemain itu kini lebih banyak menumpukan perhatian kepada perniagaan menjual peti sejuk dan tidak aktif bermain bola.

Ini menguatkan lagi bahawa Casagrande sudah meninggalkan dunia bola sepak dengan Negeri Sembilan menjadi pasukan terakhir diwakilinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram