Malaysia bangunkan pusat pendidikan, sedia bantu belia negara 'post-war' dan membangun


  • Primer
  • Selasa, 10 Sep 2024

Sebahagian lawatan kerja Zambry (kiri) semasa di Switzerland baru-baru ini.

MALAYSIA akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan, khusus bagi belia daripada negara-negara membangun dan negara selepas perang (post-war) seperti Iraq, Afghanistan, Libya dan Timor Leste.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara tersebut dipersetujui dalam pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) Profesor Tetsuya Watanabe, Ketua Pakar Perdagangan di Bank Dunia Dr Roberto Echandi, dan Pengurus Praktis dan Perdagangan Global di Bank Dunia, dalam lawatan empat hari beliau ke Switzerland pada 6 hingga 9 September lepas.

"Ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada negara kerana mendapat mandat untuk membangunkan pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di ZEE

BACA LAGI: Raja Petra meninggal dunia pada usia 74 tahun di UK

Dr Zambry

Zambry (depan, empat dari kiri) ketika mengikuti lawatan ke Switzerland. — Facebook

Beliau berkata, pada masa sama, ia juga adalah sebagai satu daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memberikan akses pendidikan yang terbaik kepada penduduk negara-negara berkenaan untuk mendapat pendidikan tinggi, seterusnya berbakti membangunkan negara masing-masing.

Zambry berkata, hasrat itu disambut baik selaras dengan fokus KPT iaitu mengantarabangsakan pendidikan tinggi.

"Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penyelaras bagi program-program berkaitan, dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.

Dalam lawatan beliau selama empat hari ke Switzerland atas jemputan Institut Perdagangan Dunia (WTI) itu, beliau menyertai beberapa perjumpaan dua hala, mengadakan perbincangan, di samping menyampaikan ucap tama.

Zambry berkata, lawatan ke Switzerland membuahkan hasil dan memperkukuh lagi hubungan dua hala serta kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pembangunan bakat terbaik dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram