Diundi dalam kumpulan maut, Selangor Pistons optimis muncul semifinalis Liga Premier STL


  • Podium
  • Rabu, 11 Sep 2024

Libasan perejam import Selangor Pistons (dua kanan) berjaya memukau hati pengurus pasukan.

MENJELANG pembukaan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2024 Grand Prix (GP) Sirkit 1, Selangor Pistons sudah menunjukkan kebersediaan untuk berdepan cabaran dalam kejohanan tersebut.

Pengurus pasukan Selangor Pistons, Syahril Mohd Rashid berkata, persiapan pasukannya ketika ini berjalan dengan lancar sambil menjelaskan pemain-pemainnya sudah bersedia.

"Setakat ini, persiapan pasukan berjalan dengan baik dan lancar. Kita pun sudah memulakan latihan selepas kita selesai di Divisyen 1 sebagai naib juara.

"Kita hanya sempat berehat lebih kurang tiga hari sahaja. Selepas itu kita turun latihan semula. Jadi, segala persiapan daripada sudut pemain-pemain dan pasukan berjalan dengan lancar," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal dalam bola sepak, maruah Kelantan terletak di bahu sepak takraw — Pengurus

BACA LAGI: Sempat berlatih 2 hari, tekong import ada kualiti boleh jadi senjata bahaya Kelantan Warriors

Selangor Pistons vs Kelantan Warriors_23

Selangor Pistons layak ke Liga Premier selepas muncul naib juara Divisyen 1.

Bercakap mengenai peluang untuk melepasi cabaran di peringkat kumpulan, Syahril berkata, sudah pasti bukan mudah untuk memberi cabaran dalam Kumpulan B yang boleh dianggap sebagai kumpulan maut.

Meskipun diundi bersama-sama pasukan Top 3 musim lalu, Selangor bagaimanapun kekal positif untuk memberi cabaran kepada Perak Bisons dan ATM Guardians.

"Melihat kepada undian dalam Kumpulan B bersama-sama Perak Bison dan ATM Guardians, dua pasukan Top 3 pada tahun lepas berada dengan kami, sudah tentu ia satu tugasan yang berat memandangkan kami baru sahaja naik ke Liga Premier.

"Walaupun bagaimanapun, kita mengenali pemain-pemain kita. Kita tahu pemain-pemain kita juga berpengalaman yang ada kita senaraikan. Jadi, kita tetap mampu memberikan cabaran yang untuk Kumpulan B," ujarnya.

Meksipun diundi dalam kumpulan maut, Syahril yang berusia 45 tahun itu berkongsikan bahawa pasukannya itu sudah bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pasukan Liga Premier.

Selangor Pistons vs Kelantan Warriors_30

Sebahagian aksi menarik antara Selangor Pistons (jersi merah) berdepan Kelantan Warriors dalam perlawana akhir Divisyen 1.

"Sebenarnya bila kita dah layak tu, kita dah bersedia menghadapi 11 lagi pasukan sebab tiada ruang pun untuk kita tidak bersedia kerana kesemua 12 pasukan adalah 12 pasukan yang terbaik.

"Sebenarnya, untuk diundi di dalam kumpulan bersama dengan juara tahun lepas memang tiada dalam pemikiranlah. Tetapi, apabila telah diundi, kami juga sebagai pasukan Selangor merasakan syukur jugalah diundi bersama dengan Perak Bison.

"Kita cuma perlu mengharungi peringkat kumpulan ni. Jadi, kalaulah kata kami bernasib baik selepas grouping ini, kemungkinan besar untuk berjumpa Perak di final akan cerah.

"Jadi, berada di dalam kumpulan yang dikatakan maut ini, sebenarnya, ada juga memberi kelebihan sekiranya, Selangor Pistons mampu mengharungi cabaran kedua-dua pasukan yang ada," kongsinya.

Sudah pasti setiap pasukan menanam impian untuk mara ke peringkat akhir namun Syahril yang merupakan Pengurus Pusat Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall itu tetap merendah diri.

Selangor Pistons vs Kelantan Warriors_35

Sebahagian momen menarik apabila Selangor berjaya menewaskan Kelantan dalam set pertama final Divisyen 1.

"Harapan daripada saya, semoga pemain-pemain saya dapat menjalankan tanggungjawab, melunaskan misi dan sasaran pasukan untuk GP pertama Premier iaitu GP Selangor.

"Apatah lagi, kita beraksi di halaman sendiri. Sudah tentunya Selangor Pistons memerlukan suntikan para penyokong untuk memberikan kita semangat di dalam cabaran kumpulan yang getir ini.

"Kita juga ingin menampilkan permainan yang baik untuk penyokong-penyokong Selangor terutamanya dan seterusnya untuk melangkah lebih jauh dalam GP Selangor ini sekurang-kurangnya ke semifinal, insya-ALLAH," kongsinya.

Menurut Syahril, beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor sebenarnya memberi impak positif kepada para pemain khususnya.

"Sebenarnya, beraksi di halaman sendiri memberi tekanan kepada pasukan dan apatah lagi di hadapan penyokong, jadi momen ini sangat penting untuk kita deliver harapan daripada penyokong-penyokong pasukan Sepak Takraw Selangor Pistons.

"Sokongan daripada penyokong sangat penting untuk kami kerana boleh memberi tonik tambahan kepada pemain-pemain saya untuk beraksi dengan lebih cemerlang," katanya.

Untuk rekod, Selangor Pistons berjaya merebut slot ke Liga Premier selepas menjadi salah satu pasukan terbaik Divisyen 1 walaupun tewas 1-2 kepada Kelantan Warriors di final. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram