[VIDEO] Menderita jangkitan kuman dalam darah, video terakhir Raja Petra kupas isu tarik balik gelaran 'federal' daripada penjenayah


  • Massa
  • Selasa, 10 Sep 2024

Penulis blog, Raja Petra Kamarudin meninggal dunia di UK pada usia 74 tahun.

"TARIK balik gelaran federal daripada penjenayah."

Itulah antara isu terakhir dikupas penulis blog, Raja Petra Kamarudin dalam hantaran video menerusi akaun Malaysia Today di Facebook dua hari lalu.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberi amaran akan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.

BACA LAGI: Raja Petra meninggal dunia pada usia 74 tahun di UK

BACA LAGI: Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di ZEE

Dalam pada itu, Allahyarham menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong itu adalah tindakan tegas yang wajar dilaksanakan dalam menjaga status dan maruah Istana Negara.

Mengimbas kembali peristiwa yang berlaku pada 40 tahun lalu, Allahyarham berkongsikan jenaka yang masih segar dalam ingatannya.

"Pada tahun 1970-an, ada satu 'joke' (jenaka) (dalam kalangan penjara) apabila pengarah penjara membuat ucapan (salutasi) di hadapan banduan, dia akan berkata Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Tuan Haji dan banduan sekalian.

"Sebab ramai orang yang berstatus sebagai Datuk atau Tan Sri apa sekali pun, duduk dalam penjara dihukum kerana jenayah, bukan sahaja Melayu, ada juga Cina dan sebagainya yang dipenjarakan atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa," katanya.

WhatsApp Image 2024-09-10 at 08.17.20

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun.

Di samping itu, pengendali laman web Malaysia Today itu berkata, tindakan menarik balik gelaran yang dikurniakan wajar dilaksanakan kerana mereka yang melakukan jenayah dan menerima hukuman, tidak layak memiliki gelaran terbabit.

"Kalau dipenjara, eloklah gelaran itu ditarik balik sebab awak diberi gelaran atau dianugerah dengan apa sahaja anugerah kerana jasa kepada negara dan bangsa.

"Tetapi apabila awak dah lakukan jenayah yang boleh dikatakan malu bagi status orang bergelar, awak tidak layak untuk terus diberi gelaran itu.

"Tapi kalau dah ada gelaran tu, buatlah kelakuan yang baik tidak kira bangsa sekali pun," katanya.

Menurutnya, individu yang ditarik balik darjah kebesaran bukan sahaja mendapat malu akibat dilucutkan gelaran, malah berdepan kritikan dan pandangan umum.

Raja Petra meninggal dunia malam tadi (Isnin) di Manchester, United Kingdom (UK).

Kematiannya pada usia 74 tahun disahkan oleh isterinya, Marina Lee Abdullah berpunca daripada jangkitan dalam darah yang merebak ke paru-paru dan kemudiannya ke hati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram