[VIDEO] Gagal dalam bola sepak, maruah Kelantan terletak di bahu sepak takraw — Pengurus


  • Podium
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Kelantan Warriors muncul juara Divisyen 1 selepas menewaskan Selangor Pistons dalam perlawanan akhir Divisyen 1 Liga Sepak Takraw 2024.

KELANTAN Warriors muncul juara Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2024 selepas bangkit daripada ketinggalan set pertama untuk memastikan kejuaraan milik negeri Pantai Timur itu.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bukit Serindit, Melaka itu menyaksikan gandingan Purached Yoosaen (tekong), Adli Bakar (feeder) dan Haikal Jamil (killer) berjaya menumpaskan Selangor Pistons dengan keputusan akhir 2-1.

Selangor Pistons dan Kelantan Warriors layak ke Divisyen Premier musim depan selaku dua pasukan terbaik bagi Divisyen 1.

BACA LAGI: Arif Aiman, Matt Davies sampai tercungap-cungap kejar, fans mahu Gergasi Merah sign 'Messi Filipina'

BACA LAGI: Makin kritikal, tak cukup boikot latihan, khabarnya pemain nekad tinggalkan Sang Kenari

Mengulas lanjut prestasi cemerlang itu, pengurus pasukan Kelantan Warriors, Mahizi Mahmood meluahkan kesyukuran apabila pasukannya bergelar juara STL Divisyen 1.

"Dua tahun lalu kita di Divisyen 1. Kita jatuh pada 2022 dan sebenarnya pada tahun lepas kita kecewa sikitlah sebab kita kalah di peringkat kumpulan sebab besar harapan kita nak naik kembali ke Liga Premier.

"Cuma tahun ni kita belajar daripada kesilapan tahun lepas dan kita terpaksa mencari sedikit danalah untuk mendapatkan pemain-pemain dan juga untuk fasiliti kita supaya kita cukup latihan dan untuk mencapai cita-cita ke Liga Premier," katanya kepada Majoriti.

Bercakap mengenai perasaan layak ke Liga Premier, Mahizi yang berusia 46 tahun itu mendedahkan bahawa pemain-pemain Kelantan menunjukkan satu persembahan yang cemerlang untuk mengesahkan tiket ke final dan sekali gus layak ke peringat tertinggi kejohanan itu.

"Sebenarnya apabila kita layak ke final, kita dah bersyukur, lagi-lagi masa semifinal kita menang dengan Melaka itu, semua pemain dan staf kejurulatihan menangis sebab kita ada satu target untuk layak ke Premier.

"Jadi, apabila kita layak ke final bermakna kita layak ke Premier. Jadi masa itu memang semua terlalu terharu sebab kita berjaya dan kita sedaya upaya untuk mendapatkan piala sebagai hadiah atas sokongan semua rakyat Kelantan kerana sokongan Kelantan Warriors," ujarnya.

KML_2517

Sebahagian aksi ketika Kelantan Warriors (jersi biru) berjaya mencuri mata untuk memastikan kemenangan milik mereka ketika berdepan Selangor Pistons.

Bercakap mengenai peluang pasukan, Mahizi berkata, tidak boleh dinafikan KL Thunders merupakan pasukan pilihan dalam Kumpulan A.

Bagaimanapun, dia yang juga merupakan kakitangan kerajaan itu optimis Kelantan Warriors mampu melepasi cabaran dalam Kumpulan A itu.

"Kita tengok peluang agak seimbang sebabnya kita tengok dalam peluang tu memang KL Thunders adalah pasukan yang hebat. Cuma mungkin kita boleh menang dengan Bomba Fighters-lah. Tapi kita cuba fight lah untuk untuk menjadi juara kumpulan.

"Kira masalah utama kita KL Thunders saja. Tapi kita harap kita dapatlah untuk lepas kumpulan untuk ke suku akhir kerana target kita nak lepas peringkat kumpulan saja," kongsinya.

Di samping itu, dengan format dan konsep baharu STL iaitu Grand Prix (GP), pengurus pasukan kelahiran Pulai Chondong, Kelantan itu tidak menganggap ia sebagai kelebihan malah berasakan penyokong Kelantan akan sentiasa memenuhi stadium.

"Kita sebenarnya kelebihan kita, kita ada penyokong di mana-mana. Walaupun kita bermain di luar penyokong Kelantan tetap turun dan penyokong yang ada di sana dia akan turun beri sokongan kepada Kelantan Warrior.

"Jadi kadang-kadang kita rasa macam bermain di tempat sendiri," katanya.

KML_2492

Pemain Kelantan Warriors mengawal bola rotan itu dengan baik.

Bercakap mengenai perancangan masa depan Kelantan Warriors, Mahizi mendedahkan bahawa pasukan itu berdepan kekangan kewangan.

Dia bagaimanapun menzahirkan ucapan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan kerana sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada Kelantan Warriors.

"Saya daripada tahun lepas urus STL, cuma masalah utamanya dari segi kewanganlah bila kita nak uruskan sesebuah pasukan.

"Mahu tak mahu kita kena ada dana yang cukuplah supaya player ni boleh fokus pada game lepas tu mampu untuk buat banyak perkaralah.

"Cuma kekangan kita dari segi danalah, tapi Alhamdulillah, kita dapat bantuan daripada kerajaan negeri untuk dana.

"Terima kasih pada MSN sebab mengurus dan mempermudahkan urusan Kelantan Warriors," kongsinya.

KML_2476

Kelantan Warriors yang diketuai oleh kapten, Adli Bakar (tengah).

Dalam pada itu, pengurus berkenaan menegaskan pasukan Pantai Timur itu menjadi tumpuan peminat di negeri itu yang pasti sedikit kecewa akan landskap sukan mereka kebelakangan ini.

Selain mengalami prestasi meragukan di Sukan Malaysia (SUKMA), nasib The Red Warriors juga mencalarkan imej mereka yang pernah digeruni suatu ketika dahulu.

Jadi, untuk mengubati luka itu, pasukan takraw itu meletakkan cita-cita tinggi untuk mencatatkan sejarah baharu dalam STL yang pastinya dapat melakar senyuman dalam kalangan penyokong.

"Sebab itulah kita cuba untuk memberikan satu kegembiraan kepada penyokong Kelantan sebab di Kelantan kola sepak nombor satu, takraw nombor dua tapi takraw ini dia mempunyai satu komuniti penyokong yang kuat sebenarnya.

"Ramai penyokong yang masih setia dengan Kelantan, jatuh bangun tetap beri sokong, jadi salah satunya apabila saya pegang takraw itu saya cuba untuk memberikan satu kegembiraan kepada rakyat Kelantan.

"Kita hadiahkan kemenangan ini untuk seluruh rakyat Kelantanlah sebenarnya yang dahagakan kejuaraan. Tidak kira dalam apa kejohanan sekalipun rakyat Kelantan setiap support.

"Sebab Kelantan ni belum pernah menjulang apa-apa piala dalam STL, kita cuba mengembalikan maruah pasukan Kelantan sebenarnya, dah dua musim di Divisyen 1 sebab Kelantan suatu ketika dulu dalam STL antara pasukan yang digeruni dan sebenarnya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram