Sempat berlatih 2 hari, tekong import ada kualiti boleh jadi senjata bahaya Kelantan Warriors


  • Podium
  • Selasa, 10 Sep 2024

Kelantan Warriors muncul juara Divisyen 1 selepas menewaskan Selangor Pistons dalam perlawanan akhir Divisyen 1 Liga Sepak Takraw 2024.

PENGURUS pasukan Kelantan Warriors, Mahizi Mahmood meluahkan kesyukuran apabila pasukannya mampu bergelar juara Liga Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2024 bagi Divisyen 1.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bukit Serindit, Melaka itu menyaksikan gandingan Purached Yoosaen (tekong), Adli Bakar (feeder) dan Haikal Jamil (killer) berjaya menumpaskan Selangor Pistons dengan keputusan akhir 2-1.

Dengan kemenangan itu, Kelantan Warriors dan Selangor Pistons layak ke Liga Premier musim depan selaku dua pasukan terbaik bagi Divisyen 1.

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal dalam bola sepak, maruah Kelantan terletak di bahu sepak takraw — Pengurus

BACA LAGI: [VIDEO] Import Thailand suntikan semangat Sabah Mountaineers, pasang impian layak ke STL Premier

KW

Sebahagian aksi menarik antara pemain Kelantan Warriors (jersi biru) berdepan Selangor Pistons. — Facebook/STL

Dalam aksi yang penuh dramatik itu, tekong Kelantan Warriors, Purached muncul individu penting dalam kemenangan berharga itu sekali gus bergelar juara Divisyen 1.

Mengimbas kembali perlawanan akhir berdepan Selangor Pistons, Mahizi berkongsikan perkara penting yang menjadi pegangan utama pasukan tersebut.

"Kami nasihatkan kepada para pemain supaya jangan ada tekanan, kena santai saja, kalau ada rezeki, adalah tu.

"Faktor utama masa tu ialah pemain kitalah, Purached dan Adli, mereka berpengalaman, Adli selaku kapten pasukan boleh handle situasi masa tu.

"Purached merupakan bekas pemain kebangsaan Thailand, saya nampak dia tetap konsisten walaupun ketika itu Kelantan ketinggalan pada set pertama," katanya kepada Majoriti.

KW.

Sebahagian aksi ketika Kelantan Warriors (jersi biru) berjaya mencuri mata untuk memastikan kemenangan milik mereka ketika berdepan Selangor Pistons.

Di samping itu, bercakap mengenai perjalanan tekong kelahiran Thailand itu ke skuad Kelantan, Mahizi berkongsikan bahawa Purached merupakan pilihan terakhir pasukan itu.

"Mungkin ramai yang tidak tahu, kita ambil Purached pada saat-saat akhir sebab kita pada awalnya ada Tekong dari Thailand juga, Siwakorn Thanaka.

"Tapi, disebabkan Siwakorn terpilih untuk Thailand, jadi kita kena cari penggantilah dan apabila kita sudah tengok game Purached ni macam mana, kita pun setuju untuk ambil dia," katanya yang terharu apabila Kelantan Warriors berjaya layak ke Liga Premier selepas dua tahun penantian.

Menariknya, Purached hanya memerlukan dua hari sahaja untuk membuktikan kelebihan dan kekuatan dirinya sebagai tekong selain mampu meningkatkan persefahaman antara pemain.

"Purached sempat training dengan kita dua hari sahaja kerana 26 Ogos dah mula Divisyen 1, dia sampai pada 24 Ogos, kemudian kita bawa dia ke Melaka untuk training dengan pemain lain.

"Walaupun dua hari sahaja training dengan kita, tapi saya cukup terharu dengan komitmen yang dia berikan untuk Kelantan Warriors," katanya.

Dalam pada itu, menjelang saingan Liga Premier yang akan membuka tirainya pada Rabu, Mahizi sempat berkongsikan bahawa akan mengekalkan khidmat Purached selaku tekong utama.

"Kita akan kekalkan semua pemain yang sudah bermain di Divisyen 1," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram