PERTEMBUNGAN cukup menarik disaksikan dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA pada awal pagi Rabu apabila Belanda menerima kunjungan seteru utama mereka, Jerman dalam saingan Kumpulan 3.
Kedua-dua pasukan boleh dikatakan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai pertandingan itu selepas menampilkan aksi cukup baik sepanjang Kejohanan Euro pertengahan tahun lalu.
Debaran bagi perlawanan itu terbalas apabila mereka mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam pertembungan cukup epik di Johan Cruijff Arena, Belanda.
BACA LAGI: Kane tak sabar bertarung sekali lagi dengan Van Dijk
BACA LAGI: Kerana mencarut depan pengadil, Van Dijk bakal terima hukuman lebih berat
De Ligt (kanan) dipersalahkan atas kelompangan pertahanan skuad The Oranje. — Agensi
Namun, aksi tersebut dibayangi beberapa siri kesilapan, termasuk satu yang dilakukan bek tengah tuan rumah, Matthijs de Ligt sehingga membolehkan Jerman mencetak gol penyamaan.
Kesilapan pertama disaksikan ketika pemain Manchester United itu gagal melakukan hantaran kepada rakan sepasukannya apabila pemain lawan dapat memintas bola.
Peluang itu kemudian menyaksikan Denis Undav menggegarkan gawang Belanda menerusi penyudah yang gagal diselamatkan Bart Verbruggen untuk meletakkan kedudukan seri 1-1.
Tidak lama selepas itu, de Ligt sekali lagi melakukan kesilapan apabila tidak dapat menghalang Joshua Kimmich menjaringkan gol pendahuluan buat Jerman.
De Ligt (kiri) kelihatan kecewa selepas gawang pasukannya dibolosi. — Agensi
Berang dengan prestasi itu, pengurus Belanda, Ronald Koeman bertindak mengeluarkannya pada babak kedua dan memasukkan Jan Paul van Hecke bagi baki permainan.
Kekecewaan tersebut turut dirasai kapten skuad The Oranje, Virgil van Dijk yang secara terbuka membuat teguran terhadap de Ligt sambil mengingatkannya supaya beraksi lebih cemerlang selepas ini.
"Ini adalah bola sepak dan anda perlu belajar daripadanya. Ia adalah satu kesilapan kecil, tetapi pada tahap tertinggi, anda akan dihukum kerananya," kata pemain Liverpool itu.
Kedua-dua mereka merupakan pilihan utama Koeman dalam barisan pertahanan memandangkan masing-masing memiliki pengalaman cukup luas sekitar Eropah buat negara dan kelab.
Prestasi de Ligt amat merisaukan beberapa musim kebelakangan ini. — Agensi
Setakat ini, de Ligt dan van Dijk sudah diturunkan bersama sebanyak 32 kali, termasuk dua daripadanya direkodkan ketika peringkat kumpulan Piala Dunia 2022.
Teguran itu sudah tentu menjadi tamparan buat bek tengah berusia 25 tahun tersebut yang mengalami prestasi tidak menentu beberapa musim kebelakangan ini.
Meskipun pernah meraih Anugerah 'Budak Emas' bagi Pemain Muda Terbaik pada 2018, beberapa siri kecederaan menyaksikannya gagal kekal di tahap terbaik.
Kesilapan sedemikian sudah tentu diharapkan tidak lagi berulang ketika Belanda bertemu Hungary dalam perlawanan ketiga Liga Negara-Negara UEFA pada 12 Oktober nanti. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram