PENYERANG England, Harry Kane tidak sabar untuk sekali lagi bertemu pertahanan Belanda, Virgil van Dijk di padang.
Ketua pasukan The Three Lions itu sebelum ini mempunyai pengalaman luas menentang bintang Oranje tersebut di peringkat kelab.
Dan pada aksi separuh akhir Euro 2024 yang diadakan pada pagi Khamis waktu Malaysia, Kane mahu mengharunginya dan muncul sebagai pemenang.
Van Dijk (kiri) dan Kane (kanan) sering bertarung di peringkat kelab sebelum ini. — Agensi
Menurut Kane, dia menikmati setiap pertembungan antara dirinya dengan Van Dijk dan pertarungan antara mereka sering seimbang.
"Mengenai Virgil van Dijk, kami mempunyai pertarungan untuk beberapa tahun sejak dari waktu dia bermain di Southampton, di Liverpool, semuanya perlawanan yang sukar.
"Ada masanya dia memenangi pertarungan, ada masa saya pula yang menang. Malam esok (pagi Khamis) akan menjadi perlawanan yang sukar. Sesiapa saja yang bermain (Matthias de Ligt atau Van Dijk) ia akan menjadi lawan yang sukar," kata Kane.
Bercakap mengenai persiapan menentang Belanda, Kane mempunyai cara tersendiri bagi membolehkan dia menewaskan Van Dijk dan negaranya.
Walaupun Van Dijk adalah lawan yang sukar, tetapi Kane suka bermain menentang pemain bertaraf bintang sepertinya.
"Ya, saya akan melakukan persiapan dengan cara lazim saya buat, untuk buatkan mereka berasa selesa sebaik mungkin. Saya pasti mereka juga akan lakukan perkara sama untuk saya.
"Saya suka bermain menentang pemain-pemain terbaik di dunia dan kerana itulah kita bermain bola sepak, kerana itulah saya bermain perlawanan seperti ini. Saya teruja dengan cabaran pada perlawanan menentang Belanda," ujar Kane. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram