Kerana mencarut depan pengadil, Van Dijk bakal terima hukuman lebih berat


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Virgil van Dijk membantah keputusan pengadil yang memberikan kad merah kepadanya. — Agensi

PERTAHANAN Liverpool, Virgil van Dijk kini berdepan potensi akan dikenakan hukuman yang lebih berat selepas menerima kad merah dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United.

Dalam aksi sengit melibatkan kedua-dua pasukan di St. James' Park, Van Dijk dibuang padang pada separuh masa pertama selepas pemain tersebut menjatuhkan Alexander Isak.

Isak ketika itu sedang meluru ke pintu gol Liverpool untuk menjaringkan gol, dijatuhkan oleh Van Dijk yang merupakan pemain terakhir di barisan pertahanan The Reds.

Kekasaran yang dilakukan oleh Van Dijk membuatkan dia menerima kad merah kerana menafikan peluang nyata untuk menjaringkan gol (denying obvious goalscoring opportunity).

VVD

Van Dijk dibuang padang ketika bertemu Newcastle United. — Agensi

Mengikut peraturan, Van Dijk hanya perlu menjalani pergantungan satu perlawanan dengan pemain itu akan terlepas aksi bertemu Aston Villa pada 3 September ini.

Namun begitu, pemain kebangsaan Belanda tersebut berpotensi untuk menerima pergantungan perlawanan lebih lama sekiranya dia didapati bersalah membuat kesalahan tambahan selepas diperintah keluar padang.

Selepas pengadil, John Brooks, mengarahkan Van Dijk meninggalkan padang, pemain itu membantah keputusan tersebut lalu memaki pegawai perlawanan tersebut.

Van Dijk dilaporkan mengatakan "f****** joke" (kelakar nak m*****) selepas kecewa dengan keputusan Brooks menyingkirkan pemain tersebut. Lebih parah, Van Dijk meneruskan amarahnya itu dengan melepaskannya kepada pengadil keempat ketika dalam perjalanan ke bilik persalinan.

VVD (1)

Van Dijk dikatakan memaki pengadil selepas pemain itu diarahkan keluar padang. — Agensi

Tindakan Van Dijk itu memaksa pengendali Liverpool, Jurgen Klopp untuk campur tangan dengan menenangkan pemain tersebut sebelum keadaan kembali reda.

Dengan tindakan kurang bijak Van Dijk itu, pemain tersebut berpotensi untuk menerima hukuman pergantungan lebih lama sekiranya pengadil menyenaraikan segala kesalahannya di dalam laporan pegawai perlawanan.

Jika didapati bersalah, Van Dijk akan menerima tambahan dua hingga tiga pergantungan perlawanan sekali gus memberikan masalah kepada Klopp kerana kehilangan ketua pasukannya.

Musim ini, pihak FA England begitu serius dalam mendisiplinkan pemain. Oleh kerana itu, kesalahan tidak bersemangat kesukanan (unsportsmanship) turut diberikan kad kuning. Sebagai contoh, Trent Alexander-Arnold menerima hukuman sedemikian selepas membaling bola apabila dikasari Anthony Gordon.

Walaupun bermain dengan 10 orang dalam aksi menentang Newcastle, tetapi Liverpool berjaya menewaskan mereka dengan jaringan 1-2. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram