MENJELANG musim baharu liga utama Australia, beberapa pasukan terus membuat rombakan terhadap pasukan dengan membawa masuk nama-nama baharu dalam misi memperbaiki kedudukan.
Perpindahan yang paling mencuri perhatian pastinya mengenai kemasukan bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Juan Mata yang baru sahaja menyertai Western Sydney Wanderers.
Perkara itu dikongsikan arkitek pasukan berusia 36 tahun menerusi satu hantaran di akaun Instagram peribadinya dengan menegaskan dia cukup teruja akan perkhabaran tersebut.
BACA LAGI: 'Ia akan melukakan kami', Luis Diaz merayu rakan baik kekal di Anfield
BACA LAGI: [VIDEO] Di Maria label bekas pengendali Man United paling teruk dalam karier
Juan Mata diumumkan sebagai pemain baharu The Wanderers. — Instagram/Juan Mata
"Saya sekali lagi berasa amat bersyukur atas pencapaian serta kegembiraan dirasai sepanjang berada dalam arena bola sepak. Hari ini, saya akan memulakan cabaran baharu dan saya cukup gembira dengannya.
"Saya sering tertarik dengan Australia sebagai sebuah negara dan amat bercita-cita untuk tinggal di sini. Impian itu tercapai dan saya kini akan menetap di Sydney yang merupakan salah sebuah bandar tercantik," katanya.
Juan Mata yang merupakan bekas tonggak Chelsea dan Manchester United menyertai skuad bimbingan Alen Stajcic tidak lama setelah dilepaskan kelab Jepun, Vissel Kobe.
Penghijrahan itu turut menyaksikan pemain itu akan terus mewarnai arena bola sepak Asia dengan beberapa bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) lain juga mengambil langkah sedemikian.
Bagaimanapun, hasratnya untuk beraksi dalam kejohanan peringkat benua perlu ditangguhkan memandangkan Western Sydney Wanderers hanya berada di kedudukan ketujuh musim lalu.
Juan Maat memiliki karier cukup baik sepanjang berada di Eropah. — Agensi
Kehadirannya sudah tentu diharapkan dapat mengubah nasib The Wanderers yang kali terakhir berentap di Asia adalah pada 2017 ketika mereka bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Sekiranya hasrat itu tercapai, Juan Mata sudah tentu berpeluang bertemu mana-mana pasukan Liga Super, terutamanya Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Selangor FC dalam pertandingan peringkat benua.
Untuk rekod, pemain tersebut memiliki rekod dan reputasi cukup baik sepanjang bertahun-tahun beraksi di Eropah, terutamanya selepas menjulang Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2012 bersama Chelsea.
Tempoh permainannya buat skuad The Red Devils juga tidak kurang hebatnya apabila dia pernah membantu kelab itu menjuarai Liga Eropah UEFA (UEL) pada 2016.
Kini, pengalaman serta kebolehannya sudah tentu diharapkan Western Sydney Wanderers untuk beraksi lebih baik di peringkat domestik, sekali gus melayakkan diri ke tahap lebih tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram