Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di ZEE


  • Primer
  • Selasa, 10 Sep 2024

Tangkap layar memaparkan sebuah kapal tentera laut asing berhampiran pelantar minyak luar pesisir di Malaysia.

BARU-BARU ini, negara digemparkan dengan kehadiran sebuah kapal tentera laut asing berhampiran pelantar minyak luar pesisir di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Susulan daripada itu, ada sebahagian yang menyatakan kebimbangan terhadap kehadirannya kepada keselamatan negara.

Sehubungan itu, Kementerian Luar mengambil maklum akan laporan tersebut.

BACA LAGI: Raja Petra meninggal dunia pada usia 74 tahun di UK

BACA LAGI: Umur tak halang pasangan warga emas tunggang superbike kelilingi Malaysia

Bagaimanapun, kementerian itu dalam kenyataan berkata, ia tidak dapat mengulas ketepatan atau butiran spesifik pergerakan kapal tentera itu kerana ia di bawah pihak berkuasa operasi keselamatan dan pertahanan.

“Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979.

"Kedudukan ini selaras undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982.

Sejajar komitmennya mengekalkan Laut China Selatan sebagai rantau keamanan, kestabilan dan perdagangan, Kementerian Luar berkata, Malaysia akan terus berhubung secara diplomatik dengan semua negara berkaitan.

"Kami kekal komited menyelesaikan pertikaian melalui cara aman dan mematuhi prinsip digariskan dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) yang menekankan kepentingan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram