
KENYATAAN Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan bahawa sistem bola sepak di negara ini adalah satu kegagalan telah menarik perhatian penyokong tanah air.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu berpendapat, ia boleh dianggap gagal selepas beberapa pasukan tidak mampu bersaing sehingga mereka berdepan dengan masalah kewangan.
Menurutnya, kemampuan satu pasukan yang berhasil menggunakan sistem berkenaan sepatutnya tidak boleh menjadi penanda aras untuk kelab-kelab bola sepak di negara ini untuk mengikutinya.
BACA LAGI: Sebelum sertai Harimau Malaya, Pan-gon sudah 'tembak' skuad kebangsaan
"Saya kata sistem yang dilaksanakan sekarang ini gagal untuk membolehkan negeri membuat persiapan dan menguruskan pasukan dengan cara terbaik. Orang lain tak boleh buat, mengapa paksa pasukan ikut satu negeri sahaja. Bukan negeri pun, kelab sahaja.
"Mengapa semua kena ikut dia? Ini tak betul, semua orang mampus, dia hidup seorang. Dia boleh ke main bola, larat main seorang? Tak boleh, kena bersaing main dengan pasukan lain.
"Kalau orang lain tak boleh main, macam mana nak lawan? Saya kata sistem tak betul, berhentilah ikut satu pasukan itu, cukup-cukuplah," katanya memetik laporan Berita Harian.
Tidak dinafikan dakwaan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi seolah-olah bersifat peribadi dek masalah kewangan menimpa Kedah Darul Aman (KDA) FC namun melihat keadaan semasa kelab lain, mereka juga mengalami situasi sama.
Kedah didakwa mengalami masalah tunggakan gaji. — Facebook/KDAFC
Sejak kelab bola sepak diswastakan pada 2017, banyak pasukan Liga Malaysia (Liga M) ditimpa masalah kewangan dan tahun ini juga menyaksikan kelab seperti Sabah FC, Sri Pahang FC dan Perak FC masih mengalami nasib buruk.
Melihat keadaan semasa pasukan Liga Super dalam tiga tahun kebelakangan ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC dilihat tidak pernah dikhabarkan mengalami masalah tunggakan gaji pemain.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai penyokong bola sepak domestik turut bersetuju dengan kenyataan Muhammad Sanusi dan berharap agar sistem tersebut untuk dilihat semula baik buruknya.
JDT dan Selangor menjadi kelab yang tidak terpalit dengan isu tunggakan gaji dalam beberapa tahun kebelakangan ini. — Facebook/JDT
"Masalah kewangan kelab ini, bukan KDA saja hadapi tapi banyak kelab lain. Kelab lain dah patut ukur baju di badan sendiri. Tidak perlu nak lawan JDT. Sebab dana kelab lain tidak banyak nak bayar gaji pemain bintang ribu-ribu. Akhirnya gaji sangkut," kata penyokong Muhammad Yusrizal.
"Yang ini saya sokong, patut Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ikut kemampuan majoriti pasukan yang bertanding. Semuanya untuk kemajuan Liga Malaysia," tambah penyokong, Kamarul Hamizi Zakaria.
"Kuala Lumpur (KL) City pun tercungap. Ibu negara Malaysia itu, kalau ikutkan petik jari boleh dapat tajaan. Hakikat pasukan negeri belum bersedia untuk swasta sepenuhnya kalau bukan datang seorang yang berpengaruh kuat," tambah penyokong, Da Di Du. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram