PERSOALAN mengenai destinasi terbaru bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri akhirnya terjawab selepas pemain itu secara rasmi menyertai Kuching City FC pada Isnin.
Dia sebelum ini dilaporkan bakal menyertai Perak FC atau Sri Pahang FC pada jendela perpindahan lalu berikutan kontraknya tidak disambung Johor Darul Ta'zim (JDT).
Namun, kecederaan pada hari terakhir Liga Super menyaksikan bintang kelahiran Labuan itu kekal dengan status ejen bebas sebelum Kuching City FC membuat tawaran.
BACA LAGI: Hazwan Bakri dicanang ke Sri Pahang tapi ucapan tonggak Sabah FC undang spekulasi lain
BACA LAGI: [VIDEO] Hazwan Bakri alami kecederaan ACL, terpaksa lupakan separuh musim 2024
Jordan Mintah kini merupakan tonggak utama Kuching City FC. — Facebook/MFL
Perpindahan tersebut sudah tentu akan mengukuhkan lagi jentera serangan skuad The Cats yang sudah memiliki Jordan Mintah serta Tchetche Kipre setakat ini.
Bagaimanapun, dengan mereka mempunyai visi untuk mencengkam saingan Liga Super, kehadiran Hazwan sudah tentu dapat membawa dimensi baharu buat kelab Borneo tanah air tersebut.
Hazwan yang pernah beraksi untuk JDT dan Selangor sudah lama dilupakan peminat berikutan lambakan pilihan di posisi serangan pasukan Selatan tanah air tersebut.
Jadi, selepas tujuh tahun memanaskan bangku simpanan, dia akhirnya memilih untuk tidak menyambung kontrak, sekali gus menyaksikannya terbuka untuk menyertai mana-mana pasukan.
Aidil Sharin (kanan) pasti gembira dengan kehadiran Hazwan Bakri. — Facebook/Kuching City FC
Selepas berehat untuk kira-kira separuh musim akibat kecederaan lutut, Hazwan memuktamadkan pilihannya dengan menyertai skuad The Cats yang berada di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.
Pengendali kelahiran Singapura itu pasti berpuas hati dengan pemain berkenaan yang memiliki pengalaman cukup luas di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Ketika ini, Kuching City FC berada di kedudukan keempat liga dengan 14 mata direkodkan, hasil tiga kemenangan serta lima keputusan seri daripada sembilan perlawanan.
Prestasi ditunjukkan itu sememangnya satu perbezaan ketara berbanding musim lalu apabila kelab berkenaan bergelut untuk memberi saingan dalam tahun debut mereka di Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram