[VIDEO] OKS 'sound' SNBJ lepas bek Sabah jadi mangsa padang rosak


  • Podium
  • Isnin, 09 Sep 2024

Antara aksi Dominic di pentas final Pestabola Merdeka pada Ahad sebelum dikeluarkan akibat kecederaan. — Facebook/FAM

HARIMAU Malaya berhasil menamatkan penantian 11 tahun untuk menjulang trofi selepas menjuarai Pestabola Merdeka 2024 apabila menewaskan Lebanon dengan keputusan 1-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dekat Kuala Lumpur pada Ahad.

Namun di sebalik malam gilang gemilang kejayaan skuad kendalian Pau Marti Vicente, keadaan padang di SNBJ merosakkan suasana sehingga menyaksikan ada pemain Harimau Malaya seperti Dominic Tan terpaksa menanggung akibatnya.

Kejadian menimpa bek tengah Sabah FC membuatkan pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee tampil menegur pihak pengurusan stadium mengenai keadaan padang di gelanggang rasmi skuad kebangsaan itu.

BACA LAGI: 'Jangan paksa anak cuaca tak menentu', legenda Selangor nasihat ibu bapa selepas remaja rebah dan meninggal dunia

BACA LAGI: Sebelum sertai Harimau Malaya, Pan-gon sudah 'tembak' skuad kebangsaan

Memetik ciapan di laman Twitter (X), Kim Swee yang juga sebelum ini merupakan pengendali kebangsaan bukan hanya melahirkan kebimbangannya mengenai keselamatan pemain, malah imej negara di mata dunia.

"Tahniah kepada pasukan kebangsaan kerana memenangi Piala Merdeka. Walau bagaimanapun, semasa meraikan pencapaian ini, adalah penting untuk menangani keadaan SNBJ. Ia agak membimbangkan dan tidak mencerminkan piawaian yang sesuai dengan pasukan dan cara yang begitu hebat

"Keadaan padang yang buruk bukan sahaja menjejaskan keselamatan pemain tetapi juga kualiti keseluruhan permainan. Kami berharap langkah-langkah yang sewajarnya akan diambil untuk memastikan bidang itu dikekalkan pada standard tertinggi.

"Pemain berhak mendapat persekitaran terbaik untuk mempamerkan kemahiran mereka dan bermain dengan selamat. Sekali lagi, tahniah dan kami mengharapkan lebih banyak kemenangan pada masa hadapan dalam keadaan yang lebih baik," katanya pada Isnin.

Melihat sedutan perlawanan pada Ahad itu, Dominic menjadi mangsa terbaru yang mengalami kecederaan akibat keadaan padang kurang memuaskan sehingga terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua dan digantikan dengan Feroz Baharudin.

Selain Dominic, seorang lagi pemain Sang Badak yang hampir menjadi mangsa kecederaan ialah Darren Lok iaitu apabila penyerang itu dimasukkan pada separuh masa kedua permainan.

Untuk rekod, pada aksi pertama Pestabola Merdeka menentang Filipina, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail turut disahkan mengalami kecederaan yang menyebabkan dia tidak diturunkan dalam senarai nama pada aksi akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram