Ikut cara naturalisasi Singapura, Mats Deijl diminta luang masa ke Malaysia jika sudi sarung jersi HM


  • Podium
  • Selasa, 03 Sep 2024

Kemasukan Mats Deijl akan membawa wajah baharu buat skuad kebangsaan pada tahun-tahun akan datang. — Instagram/Mats

MALAYSIA bakal menerima dua pemain baharu bagi memperkuatkan lagi Harimau Malaya selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan khabar gembira itu.

Mereka adalah penyerang St Louis City II, Wan Kuzain Wan Kamal di Amerika Syarikat serta pemain warisan baharu, Mats Deijl yang merupakan kapten Go Ahead Eagles yang beraksi di divisyen teratas Belanda.

Nama Wan Kuzain sudah cukup serasi dengan khabar angin akan menyarung jersi Harimau Malaya dengan pemain berusia 25 tahun berkenaan juga pernah menyertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara pada 2019.

BACA LAGI: Tiba sebagai pemain warisan, keeper muda JDT dicadang barisi skuad muda negara

BACA LAGI: Lepas Wan Kuzain-Mats Deijl, ada 3 lagi calon warisan luar negara wajar 'dipancing' FAM

Berbeza dengan Mats Deijl yang namanya baru sahaja didengari selepas pengumuman berkenaan, membuatkan ramai peminat bola sepak tanah air mula tertanya-tanya info mengenai pemain berusia 27 tahun itu.

Hamidin menyatakan bahawa pemain pertahanan itu yang telah menghubungi ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dengan menyatakan minat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“Datuk dia dari Malaysia, jadi kita tengah proses, dia menghubungi pegawai kita dan Pau Marti untuk (nyatakan hasrat) dia nak main Malaysia,” katanya memetik laporan media baru-baru ini.

Tanpa mengetahui sebarang latar belakang mengenai pemain berkenaan, penyokong bola sepak tanah air mencadangkan agar Mats Deijl sudi untuk meluangkan masa ke tanah air bagi proses menyesuaikan diri.

WhatsApp Image 2024-09-03 at 11.31.58

Mats Deijl beraksi untuk Go Ahead Eagles di divisyen teratas Belanda. — Instagram/Mats

Dengan liga pun sedang berehat sementara bagi memberi laluan kepada perlawanan melibatkan tugasan negara, Mats Deijl juga boleh memanfaatkan masa ini untuk menyelesaikan proses kewarganegaraannya.

Antara cara yang terbaik boleh diambil adalah dengan meniru gaya calon naturalisasi Singapura, iaitu bek tengah Cardiff City, Perry Ng yang meluangkan masa bermain bersama Singapura menjelang aksi bertemu BG Tampines Rovers dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perry dibawa masuk pengurusan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk panggilan skuad kali ini bagi membolehkan pemain itu membiasakan diri dengan suasana kem The Lions.

Keputusan tersebut dibuat selepas Perry menyatakan komitmen mewakili Singapura di peringkat antarabangsa. Malah, bekas bek tengah Crewe itu sudah menghantar permohonan untuk menjadi rakyat Singapura secara rasmi.

perry

Perry dan Nakamura dibawa masuk pengurusan FAS untuk panggilan skuad kali ini. — Instagram/FAS

Selain Perry, pemain tengah BG Tampines Rovers iaitu Kyoga Nakamura turut dijemput menyertai pasukan yang dibimbing Tsutomu Ogura bagi merasai sendiri pengalaman kem The Lions.

Pemain Jepun itu mendapat status penduduk tetap Singapura baru-baru ini, dan Nakamura berharap itu membuka jalan kepadanya bergelar rakyat Singapura sekali gus mewakili skuad The Lions. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram