Dion Cools jadi penanda aras FAM cari pemain warisan, dana RM15 juta boleh guna cari bakat


  • Podium
  • Selasa, 03 Sep 2024

Cools bukan hanya cemerlang menjaga pertahanan negara, dia juga mempunyai ciri kepimpinan yang baik. — Instagram/FAM

MALAYSIA bakal menambah dua lagi wajah baharu dalam skuad Harimau Malaya apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mengumumkan dua pemain warisan akan menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Mereka adalah penyerang St Louis City II, Wan Kuzain Wan Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) serta pemain warisan baharu, Mats Deijl yang merupakan kapten Go Ahead Eagles yang beraksi di divisyen teratas Belanda.

Kehadiran dua bintang itu sememangnya disambut baik oleh penyokong tanah air lagi-lagi selepas melihat reputasi mereka yang beraksi dengan kelab terbaik di luar negara ketika ini.

BACA LAGI: Harimau Malaya dapat RM15juta sebab rakyat suka bola sepak — PM Anwar

BACA LAGI: Ikut cara naturalisasi Singapura, Mats Deijl diminta luang masa ke Malaysia jika sudi sarung jersi HM

Bagaimanapun, masih ada kurang yakin mengenai kebolehan mereka untuk diserap ke skuad kebangsaan kerana risau bahawa masing-masing tidak berada di tahap terbaik dan kurang sesuai dengan corak permainan Harimau Malaya.

Jadi, untuk mengetahui sama ada mereka bersedia atau tidak, pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa berpendapat bahawa FAM perlu mencari satu mekanisme bagi menilai sama ada mereka sesuai dengan DNA Harimau Malaya.

Sadek juga berkata, pemain Buriram United FC, Dion Cools boleh menjadi penanda aras kepada kriteria dan kualiti tonggak warisan yang perlu dicari oleh badan induk berkenaan.

SAEDEKK

Pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa.

"Saya rasa penilaian perlu dibuat oleh pengendali Malaysia (Pau Marti) mengenai kemampuan dua pemain warisan itu, apakah mereka layak wakili Malaysia. FAM perlu ada satu mekanisme yang konkrit untuk menilai jika mereka layak wakili Malaysia.

"Yang saya lihat, FAM kini seolah-olah memudahkan proses pemain warisan sedangkan mereka tak lalui pemain tempatan yang lalui iaitu proses sejak akar umbi lagi. FAM perlu cari pemain yang ada kriteria seperti Dion Dools.

"Tahap ketenangan, kemahiran dan kepimpinannya memang terbaik. Semuanya lebih dari pemain tempatan lain. Kalau nak ambil yang main luar negara, ada yang bawah daripada Liga Malaysia. Mereka hanya memberi pengiktirafan tanpa buat penelitian," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, badan induk berkenaan juga dinasihatkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa daripada kalangan jurulatih berpengalaman bagi menilai kualiti pemain warisan yang sedang dicanang dengan Malaysia.

ISI DALAM 12

Pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa. — Instagram/Mats Deijl

Beliau juga menyarankan agar peruntukan sebanyak RM15 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibahim boleh diguna untuk membangunkan bakat pemain muda dan jawatankuasa pencari bakat dalam kalangan bekas jurulatih.

"FAM perlu ada jawatankuasa daripada kalangan jurulatih berpengalaman untuk menilai mereka. Pantauan perlu dilihat dalam masa dua hingga tiga bulan. Jangan tengok video sahaja.

"Jangan lalui proses rundingan dengan presiden tapi tidak dipantau. Tidak adil untuk pemain lain. Tadi PM (Anwar) bagi RM15 juta dan pernah diberi RM10 juta dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tapi masih tak nampak pembangunan," jelasnya.

Menurut Anwar, peruntukan kewangan untuk Harimau Malaya itu adalah untuk membantu mereka mendapatkan latihan dan bimbingan yang tepat untuk menjadi gergasi bola sepak Asia di masa depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram