PENYERANG Johor Darul Takzim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri sebelum ini memberi bayangan berkemungkinan akan meninggalkan Harimau Selatan selepas hampir tujuh tahun menabur bakti bersama kelab gergasi tanah air berkenaan.
Walaupun belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenai perpisahan pemain berusia 32 tahun itu bersama JDT namun ia tidak menghalang daripada tersebarnya khabar angin mengenai bakal majikan baharunya pada musim dekan.
Antara yang disebut-sebut bakal menjadi kelab baharu Hazwan Bakri ialah Sri Pahang FC dengan pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam pernah melaporkan bahawa pemain itu kini sedang dalam pertimbangan untuk menyertai skuad Tok Gajah.
Jika desas-desus tersebut menjadi realiti, kehadiran Hazwan Bakri ke pangkuan Tok Gajah sememangnya bakal memperkukuhkan bahagian serangan Sri Pahang yang kini banyak bergantung harap kepada penyerang import, Kpah Sherman.
Skuad Tok Gajah bagaimanapun seperti menerima pesaing baharu apabila Sabah FC dicakap-cakap turut serta dalam perebutan mendapatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) 2015 berkenaan.
The Rhinos dikaitkan dengan Hazwan Bakri apabila tonggak Sabah FC, Irfan Fazail memberi ucapan ‘jumpa lagi’ kepada bekas pemain Selangor FC itu sehingga hantaran di Insta Story tersebut mula menimbulkan spekulasi dalam kalangan penyokong.
Hazwan Bakri ketika memuat naik semula hantaran Insta Story Irfan dengan kapsyen 'terima kasih kapten'.
Menerusi Insta Story pemain tengah Sabah FC itu, Irfan turut meletakkan emoji menadah tangah dengan ia membawa maksud seperti mendoakan agar Hazwan Bakri cepat pulih dari kecederaan yang menimpanya pada perlawanan terakhir JDT menentang Penang FC.
Musim ini disifatkan bukan terbaik buat Hazwan apabila dia tidak merasai aksi bersama skuad utama kendalian Esteban Solari dan banyak beraksi untuk JDT II dalam saingan Piala MFL.
Untuk rekod, sepanjang 63 penampilannya bersama JDT Hazwan berjaya merekodkan 10 jaringan manakala aksinya bersama skuad Kebangsaan menyaksikan dia mencetak tujuh jaringan daripada 32 perlawanan.
Perpindahan ke kelab baharu akan menyelamatkan karier Hazwan Bakri yang semakin malap dan berkemungkinan boleh menjadi antara penyerang disegani pihak lawan lagi pada suatu hari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram