Bakal kembali ke padang, Faisal akan jalani latihan rehabilitasi bantu pulih kecergasan tahap rendah


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Faisal dijangka akan kembali berlatih di padang latihan tidak lama lagi.

PERKEMBANGAN positif dilihat terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim yang dilihat semakin hampir untuk kembali beraksi di padang.

Sebelum ini, Faisal dilihat bakal terlepas keseluruhan musim 2024/2025 akibat serangan asid yang menimpanya pada Mei lalu.

Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon mengatakan yang Faisal semakin hampir untuk kembali berlatih.

BACA LAGI: Tinggal 5 peratus lagi Faisal Halim akan pulih sepenuhnya

BACA LAGI: 'Faisal kuat, lagi 3 minggu boleh turun padang, tapi tak mahu dia ada kecederaan lain'

445591898785648SFC04212 (1)

Hazwan (kiri) merupakan doktor pasukan di Selangor. — Selangor FC

Walaupun Faisal akan kembali berlatih, ia tidak akan tertumpu kepada sebarang latihan berkaitan bola sepak.

Menurut Doktor Pasukan Selangor, Dr Hazwan Khair, Faisal menjalani proses rehabilitasi yang untuk membina semula kecergasannya yang menurun secara mendadak.

"Dalam masa terdekat, Faisal akan menjalani proses rehabilitasi yang melibatkan latihan di padang," kata Hazwan secara ringkas kepada Majoriti.

Latihan rehabilitasi merupakan sebuah proses untuk membantu Faisal kembali pulih selepas kecederaan yang dialaminya. Ia bertujuan untuk meningkatkan fungsi dan kebolehupayaan seseorang bergantung kepada individu itu sendiri serta persekitaran.

Tujuan latihan sebegini diadakan adalah untuk membantu Faisal mencapai tahap keberdikarian yang setinggi mungkin menerusi penjagaan, rawatan dan sokongan.

Menurut kenyataan Johan sebelum ini, latihan Faisal di padang tidak berkait langsung dengan bola sepak. Sebaliknya, ia tertumpu kepada pemulihan anggota badan pemain itu supaya boleh berfungsi semula.

Ketika ini, tahap kecergasan Faisal berada pada tahap yang cukup rendah dan itu adalah perkara pertama Selangor mahu tangani selain daripada mengelak kecederaan lain menimpanya seandainya pemain sayap itu didedahkan kepada bola sepak terlalu awal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram