'Rela kerja kampung gaji RM50, janji keluarga selamat', Faisal Halim sebak di sidang media


  • Podium
  • Khamis, 13 Jun 2024

Faisal (dua dari kanan) muncul di sidang media khas di Shah Alam pada Khamis.

PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim rela kehilangan punca pendapatan bernilai ribuan Ringgit Malaysia asalkan keselamatan keluarganya terjamin.

Bercakap kepada media secara berdepan buat kali pertama, Faisal sebak ketika menjawab pertanyaan media berkenaan keselamatan diri dan keluarga.

"Saya sanggup hilang gaji saya berpuluh ribu, asalkan keluarga saya selamat.

“Saya rela kerja dapat RM50, RM100 sehari. Asalkan keadaan keluarga saya selamat,” kata Faisal.

BACA LAGI: Faisal Halim nampak lain, tidak seperti dulu

BACA LAGI: Saya tak dapat sayang, peluk anak — Faisal Halim

Pada masa sama, Faisal berkata, dia cuma mahukan hidup yang aman dan itulah yang difikirkannya selepas diserang tempoh hari.

Menurutnya, dia mahu berehat dengan tenang di kampungnya dekat Mengkuang Titi, Pulau Pinang.

Jiwanya nyata ingin merdeka kerana ketika ini dia terpaksa diletakkan di lokasi rahsia untuk menjalani pemulihan tanpa sebarang gangguan.

Faisal nyata memang tidak sabar untuk kembali berlatih dan beraksi, malah dia mengatakan dirinya 'tidak puas' menyaksikan aksi rakan sepasukannya di Selangor dan Malaysia sekadar menerusi kaca televisyen.

Ketika sidang media yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Sri Shahril Mokhtar, doktor pasukan, Dr Hazwan Khair serta dua peguam rasmi kelab iaitu Haijan Omar dan Nik Zarith Nik Mustafa.

Faisal dalam ucapan pertamanya kepada media selepas insiden tersebut, pemain sayap kebangsaan itu turut berkata yang dirinya jelas tidak sabar kembali beraksi.

Dia menyasarkan dalam tempoh sebulan, dua lagi untuk kembali beraksi di padang.

Malah, Faisal sendiri sudah memberitahu kepada Shahril yang dia sudah mahu turun berlatih.

"Masa saya hubunginya, dia beritahu kepada saya yang dia mahu kembali berlatih. Saya cakap, biar betul awak ni?," ulas Shahril ringkas ketika sidang media.

Fokus ketika ini tertumpu untuk pemulihan luka Faisal dengan pemain itu turut menjalani latihan fisio secara ringan.

Selepas itu, pengurusan Selangor boleh memfokuskan untuk membantu pemain tersebut kembali berlatih dan beraksi.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram