KHAMIS lalu, jaguh bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) mengumumkan bahawa mereka sudah melepaskan beberapa pemain dan staf kejurulatihan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan pasukan.
Antara nama yang pastinya mencuri perhatian ialah pengendali, Esteban Solari serta perancang utama pasukan, Leandro Velazquez dengan kehadiran masing-masing cukup penting buat skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun, tumpuan turut diberikan kepada bekas penyerang kebangsaan, Hazwan Bakri yang sudah disahkan tidak akan lagi berkhidmat buat pasukan itu selepas tujuh tahun menabur bakti.
Meskipun dia sebelum ini pernah memberi bayangan akan mencari kelab baharu, keputusan JDT untuk melepaskannya menjadi bahan bualan dengan orang ramai masih hangat membincangkan mengenai kebolehannya ketika ini.
Perkara itu dibuktikan apabila penyokong beberapa kelab Liga Super, seperti Sri Pahang FC dan Perak FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya untuk saingan akan datang.
Hazwan pernah memberi bayangan bakal meninggalkan skuad Harimau Selatan.
Walaupun kurang meraih minit permainan, reputasi Hazwan yang pernah diangkat sebagai penyerang terbaik negara satu ketika dahulu menjadi faktor di sebalik tarikannya.
Tetapi, harapan untuk menyaksikan Hazwan kembali mewarnai arena Liga Super seperti tidak akan kesampaian apabila dia dilaporkan mengalami kecederaan serius.
Berdasarkan satu ciapan daripada wartawan Astro Arena, Fateen Shazwani, penyerang berusia 32 tahun terbabit terpaksa menunggu sehingga sekurang-kurangnya pertengahan musim untuk kembali beraksi.
"Hazwan Bakri disahkan mengalami kecederaan ACL (anterior cruciate ligament) dan terpaksa melupakan separuh musim yang pertama pada 2024," tulisnya.
Hazwan Bakri disahkan mengalami kecederaan ACL, dan terpaksa melupakan separuh musim yang pertama 2024.
More on Nadi Weekend tonight at 7.30pm.@ASTROARENA pic.twitter.com/1eUyJAg6W6
— Fateen (@fateenshazwani) December 30, 2023
Situasi itu difahamkan dialaminya dalam aksi penutup Liga Super 2023 menentang Penang FC di laman sendiri apabila dia terpaksa berehat di tepi padang ketika perlawanan masih berlangsung.
Musim ini, penyerang kelahiran Labuan tersebut diletakkan dalam skuad Piala MFL JDT dengan dua gol diperolehinya dalam lima penampilan.
Lambakan penyerang dalam skuad Harimau Selatan dilihat sebagai antara faktor utama pemain itu berhasrat meninggalkan pasukan Selatan tanah air berkenaan.
Bagaimanapun, kecederaan dialaminya itu pasti akan menyaksikannya terpaksa menunggu sehingga jendela perpindahan kedua sebelum dapat kembali beraksi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram