Parut lengan hasil bedah cantuman kulit, mental Faisal Halim mungkin ambil masa lebih lama untuk pulih — Selangor FC


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Kesan kecederaan di bahagian tangan kiri (gambar kanan) Faisal akibat serangan asid pada 5 Mei lalu.

PROSES penyembuhan pemain bola sepak negara, Faisal Halim dijangka bakal mengambil masa lebih lama khususnya melibatkan pemulihan daripada aspek psikologi.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Mohd Hazwan Khair menegaskan bahawa proses pemulihan Faisal bukan sekadar fizikal tetapi juga melibatkan pemulihan emosi dan psikologinya.

"Walaupun ramai tertumpu kepada keadaan fizikalnya, keutamaan saya adalah lebih daripada itu. Saya tidak mahu memberi Faisal tempoh masa tertentu untuk kembali kerana ini melibatkan lebih daripada kecederaan fizikalnya. Itu juga yang terlintas di fikirannya," kata Hazwan.

BACA LAGI: 'Jika tarik lesen bas, 1.5 juta murid tidak pergi sekolah'

BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap

Menurut beliau, pasukan sains sukan Selangor FC turut berkomunikasi dengan pakar psikologi dan psikiatri untuk memberikan penilaian hadap Faisal secara berkala.

Faisal yang kelihatan masih belum pulih sepenuhnya daripada serangan asid pada 5 Mei lalu tampil buat pertama kali di khalayak awam menerusi satu siding media pada Khamis.

Doktor memberi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan untuk pulih sepenuhnya sebelum dia boleh cuba kembali turun ke padang.

Di sebalik insiden traumatik yang berpotensi menamatkan karier bola sepaknya, pemain berusia 26 tahun itu tetap melahirkan keazaman untuk bangkit semula dalam tempoh sebulan.

2748869

Faisal (kiri) ketika sidang media pada Khamis.

Hazwan berkata, mereka akan mendapatkan segala peralatan yang boleh membantu Faisal menangani penumpuan dan pengurusan tekanan sebagai sebahagian daripada pemulihan mentalnya.

"Terdapat permainan rangsangan otak yang boleh membantu dengan fokus, tetapi kita juga perlu melihat bagaimana ini memberi kesan kepada keselesaan dan kesesuaiannya," kata beliau.

Dari segi fizikal, Hazwan berkata, parut di lengan Faisal adalah hasil daripada pembedahan cantuman kulit yang dijalaninya.

Pemain Harimau Malaya itu menjalani empat prosedur, termasuk prosedur 'alograf kulit' menggunakan kulit yang didatangkan khas dari Belgium.

"Pergerakan Faisal terhad kerana pembedahan dan kami telah memulakan proses pemulihan untuknya di mana ahli fisioterapi Selangor melawatnya untuk rawatan.

“Kami mahu memulihkan fungsi pergerakannya supaya dia boleh kembali kepada rutin kehidupan harian.

"Kami tahu sasarannya adalah untuk kembali ke padang, kami hanya membantunya untuk membantu mempercepatkan proses pemulihan," katanya.

Pada sidang media di Pusat Latihan Bola Sepak Selangor pada Khamis, kesan kecederaan teruk masih boleh dilihat lengan kirinya sehingga membataskan pergerakannya di bahagian tersebut.

Serangan itu juga dipercayai memberikan kesan terhadap penglihatannya selepas pemain itu dilihat memerlukan cermin mata untuk membaca teks ketika acara itu.

Bagaimanapun, dalam ucapannya, Faisal memberikan jaminan kepada semua pihak bahawa dia masih boleh melihat dengan baik.

“Saya dapat melihat dengan baik, visi saya untuk melihat jauh dan bermain bola sepak adalah baik.

"Hanya untuk membaca saya kurang nampak, jadi saya hanya perlukan cermin mata bacaan,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram