Ikhlas mahu bantu bola sepak lokal, kerjasama dengan MBI Selangor jadi sasaran Wolfsburg


  • Podium
  • Ahad, 08 Sep 2024

Wolfsburg membuka pejabat Asia Tenggara untuk mempromosikan program teknikal dan B2B berkaitan bola sepak di rantau ini.

PASUKAN Bundesliga, VfL Wolfsburg membuka pejabat Asia Tenggara mereka di Menara Matrade, Kuala Lumpur bagi mempromosikan program teknikal dan perniagaan ke perniagaan (B2B) berkaitan bola sepak di rantau ini.

Pejabat yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2023 lalu itu adalah merupakan cawangan luar negara kedua pasukan berkenaan selepas Beijing, China pada 2017.

Ketua Wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew memberitahu, banyak perkembangan yang mereka berhasil lakukan dengan mereka juga masih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pasukan di Malaysia dalam pembangunan bola sepak.

BACA LAGI: [VIDEO] Wolfsburg tunggu 'greenlight' bapa bintang Selangor

BACA LAGI: Wolfsburg idam bintang JDT, Selangor tapi lebih rela pilih Gergasi Merah saingi Harimau Selatan

“Dalam setahun ini dah banyak perkembangan yang kami buat. Dari perspektif aktiviti yang kami buat iaitu Wolfsburg nak bantu pembangunan bola wanita. Kami dah mengadakan perbincangan dengan mereka tapi sayangnya ramai yang menganaktirikan.

“Dari segi aspek B2B pula, kami sudah berhasil mendapatkan dua rakan strategik dalam automobil. Maksudnya, sudah ada dua syarikat yang akan bekerjasama bersama kami,” katanya kepada Majoriti.

Antara perkembangan ketara yang mereka sudah lakukan adalah dalam membantu pemain bola sepak wanita tanah air seperti Qaseh Rania Khairul Najib untuk mendapatkan peluang bermain bersama Wolfsburg di Jerman.

Peluang yang berlaku kepada Qaseh Rania itu membuatkan Wolfsburg sedang dalam perancangan untuk menjalin kerjasama bersama Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi Selangor.

WhatsApp Image 2024-09-06 at 21.50.03

Ketua Wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew (kanan) dan Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

“Memang ada rancangan dengan MBI. Saya dah ada bincang dengan MBI dan Selangor. Saya nak bekerja dengan ramai orang. Saya harap bila kami bekerjasama akan dalam jangka masa panjang.

“Kami bukan di sini (Malaysia) satu malam, kalau MBI serius kami suka nak berkolaborasi. Seperti Qaseh Rania dia dibawah program MBI juga, maksudnya mereka serius nak bantu.

“Kalau ada peluang nak buat akademi bersama MBI, Wolfsburg tak kisah nak bekerjasama. Siapa sahaja ada keikhlasan nak buat. Kami akan tolong. Kami bukan datang nak buat duit,” jelasnya.

Sebelum ini, MBI pernah membantu membangunkan bakat Qaseh Rania sejak 2020 termasuk menaja kos RM15,000 ketika mengikuti program latihan bersama kelab NK Osijek (Liga 1 Croatia) pada 2022.

Kini, Qaseh Rania sudah berhasil memikat jurulatih Wolfsburg dan pasukan berkenaan juga bersedia menawarkan kontrak kepada anak jati Puchong tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram