HAJAT pasukan sepak takraw negara untuk menamatkan penantian 36 tahun muncul juara acara regu berpasukan Piala Raja Thai 2024 tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada tuan rumah Thailand pada Ahad.
Berdasarkan rekod, kali terakhir skuad negara memenangi Piala Raja Thai ialah pada 1988 yang ketika itu di bawah kendalian Haris Abdul Rahman.
Pada perlawanan akhir berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand, regu pertama negara dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) dipaksa bermain tiga set yang menyaksikan mereka tewas 15-4, 3-15, 11-15.
BACA LAGI: 'Jika ada 3 kunci ini, insya-ALLAH pergi jauh', Noraizat mahu Perak Bison pertahan kejuaraan STL
BACA LAGI: [VIDEO] Aidil dedah dapat baca servis Thailand, Farhan idam hatrik Piala Dunia
Skuad negara tewas kepada tuan rumah dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan. — Facebook/Persatuan Sepaktakraw Malaysia - PSM
Sandaran kemudiannya diletakkan kepada regu kedua negara Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Muhammad Shahalril Aiman Halim (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri).
Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan mereka mengikat kedudukan, sekali gus menghidupkan peluang ke perlawanan ketiga juga tidak berhasil apabila tewas 13-15 dan 9-15.
Kegagalan itu menyaksikan Malaysia terus kemarau selama 36 tahun untuk menjulang piala berprestij berkenaan yang kekal didominasi negara Gajah Perang.
Namun, skuad sepak takraw negara tidaklah pulang dengan tangan kosong apabila pada Isnin lalu, mereka merangkul emas dalam acara regu lelaki selepas menewaskan India 2-0. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram