STL 2024: Perak Bison jadi pilihan juara, 3 pasukan bakal beri saingan sengit


  • Podium
  • Rabu, 04 Sep 2024

Pasukan-pasukan yang akan beraksi dalam STL 2024.

KURANG seminggu lagi, Sepak Takraw League (STL) Premier 2024 akan membuka tirainya selepas divisyen satu menamatkan kejohanan mereka dengan Kelantan Warriors bergelar juara edisi tahun ini.

12 pasukan akan bertarung untuk merebut gelaran raja STL Premier 2024 dengan Perak Bison sebagai juara bertahan musim lalu.

Edisi kali ini, sekali lagi dimeriahkan dengan kehadiran pemain import yang didominasi oleh negara jiran, Thailand.

BACA LAGI: Sanggup datang jauh ke Thailand, skuad sepak takraw AS gembira layanan kelas A Azlan Alias

BACA LAGI: Tewas set pertama, semangat juang bantu Kelantan Warriors muncul juara Divisyen 1 STL 2024

STL musim ini bakal menyaksikan pelaksanaan Grand Prix (GP), sebagai konsep dan format baharu yang diperkenalkan sempena sedekad kejohanan berkenaan menakluk arena sepak takraw tanah air.

Susulan kejayaan Kelantan Warriors menjuarai divisyen satu dengan Selangor Piston selaku naib juara membawa kepada slot automatik dua pasukan itu ke STL 2024.

Bagi pusingan pertama GP menyaksikan 12 pasukan yang terdiri daripada Perak Bison, Kuala Lumpur Thunder, Penang Black Panther, Johor Tigris, ATM Guardian, Negeri Sembilan Antlers, Bomba Fighter, KPT-Masum Knights, PDRM Defenders, Terengganu Turtles, Kelantan Warriors dan Selangor Pistons akan dibahagikan kepada empat kumpulan.

Edisi kali ini pastinya yang menjadi tumpuan ialah Perak Bison, Penang Black Panther, Johor Tigris dan Kuala Lumpur Thunder.

Perak Bison yang dibarisi dengan pemain kebangsaan, Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi akan memulakan perlawanan pertama menentang ATM Guardian pada 12 September.

Manakala Penang Black Panther yang diperkuatkan dengan dua import Thailand, Pannaphat Rattanamat dan Komkrit Kaewkhamjan pula akan bertemu Terengganu Turtles pada 11 September.

Johor Tigris yang mengekalkan rata-rata muka lama pula akan berdepan cabaran Negeri Sembilan Antlers pada 11 September.

Bekas juara STL pada 2022, Kuala Lumpur Thunder pula akan bertemu juara divisyen satu, Kelantan Warriors yang dijangka menang mudah kerana skuad ibu kota itu diperkuatkan dengan tiga pemain berpengalaman negara, Syahir Mohd Rosdi, Azlan Alias dan Amirul Zazwan.

Semua perlawanan akan dimainkan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor yang akan bermula pada 11 sehingga 15 September. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram