Sanggup datang jauh ke Thailand, skuad sepak takraw AS gembira layanan kelas A Azlan Alias


  • Podium
  • Selasa, 03 Sep 2024

Azlan (tengah) bersama dua pemain pasukan kebangsaan sepak takraw Amerika Syarikat. — Facebook/USA National Sepak Takraw Team by STUSA

SKUAD sepak takraw negara menepati ramalan merangkul emas acara regu lelaki Piala Raja Thai 2024 selepas menewaskan India 2-0 di Nakhon Ratchasima, Thailand pada Isnin.

Pada perlawanan akhir itu, regu negara dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam turun dengan aksi mengagumkan apabila menguasai set pertama dengan 15-5.

Kehebatan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun ternyata sukar digugat dalam perlawanan berkenaan apabila mereka berhasil melengkapkan kemenangan 15-9 untuk membawa pulang emas buat tanah air.

BACA LAGI: Bahang kehangatan aksi gulung bermula, Klinik STL 2024 gegar sekolah, negeri terpilih

BACA LAGI: Skuad takraw negara terima habuan khas RM170,000 dari MSN

Terdahulu, Malaysia meraih kemenangan dalam ketiga-tiga aksi divisyen premier liga sepusingan disertai lima negara itu sebelum aksi penentuan pingat emas berdepan India.

Turut mengambil bahagian pada kejohanan kali ini ialah Singapura, China dan Brunei.

Perjalanan skuad sepak takraw pada kejohanan kali ini juga bukan hanya disaksikan oleh penyokong domestik, malah ada juga peminat dari luar negara yang sanggup turun ke Thailand untuk menyokong regu negara.

Memetik hantaran yang dimuat naik oleh pasukan kebangsaan sepak takraw Amerika Syarikat, dua pemain mereka berkongsi kegembiraan dapat bersua muka dengan perejam sensasi negara, Azlan Alias.

"Apabila anda mengembara merentasi 15 zon waktu (seperti yang kami lakukan) untuk menghadiri Kings Cup 2024, anda tidak boleh malu untuk bertemu dan bercakap dengan idola sepak takraw anda!

"Nasib baik Azlan Alias ​​baik hati menerima hadiah kecil daripada saya dan Kerr Cha, dan menjawab beberapa soalan. Terima kasih," tulis kapyen USA National Sepak Takraw Team by STUSA sambil memuat naik gambar mereka bersama Azlan.

Keterujaan wakil dari skuad sepak takraw Amerika Syarikat bertemu Azlan itu membuktikan bahawa Malaysia sememangnya kuasa besar dalam sukan bola rotan berkenaan.

Kejayaan luar biasa skuad sepak takraw negara yang meraih gelaran berganda pada saingan Piala Dunia 2024 iaitu mengungguli acara double dan menjuarai saingan regu menambah populariti Malaysia di mata dunia.

Dalam pada itu, selepas ini skuad kebangsaan akan diuji dalam acara berpasukan lelaki yang menyaksikan Thailand akan turun mempertahankan kejuaraan dimenangi pada edisi tahun lalu.

Dalam acara berpasukan nanti, Malaysia diundi dalam saingan Kumpulan C bersama China dan Laos manakala Thailand berada dalam Kumpulan A bersama India dan Jepun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram