'Jika ada 3 kunci ini, insya-ALLAH pergi jauh', Noraizat mahu Perak Bison pertahan kejuaraan STL


  • Podium
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Pastinya bukan mudah untuk pasukan Perak Bison mengekalkan kejuaraan dalam Liga Sepak Takraw musim ini.

LIGA Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2024 yang bakal membuka tirainya pada 26 Ogos sehingga 17 November akan menyaksikan konsep dan format baharu iaitu Grand Prix (GP).

Format GP berkenaan akan memberi peluang kepada setiap pasukan untuk menjadi Juara GP setiap minggu mengikut setiap venue lokasi STL yang akan diadakan.

Manakala, juara keseluruhan pula akan diumumkan mengikut jumlah mata yang tertinggi.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tak profesional', fans pelik JDT 'kunci mulut' sebelum lawan Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] Final Piala FA: PSM optimis SNBJ sudah bersedia, ekor HM tanya macam mana padang jika hujan

WhatsApp Image 2024-08-23 at 18.47.17

Perak Bison dinobatkan sebagai juara bagi musim lalu.

Pada saingan musim lepas, Perak Bison dinobatkan sebagai juara STL Emas Annuar 2022/23 dengan perbezaan ketara dengan pencabar terdekat, Penang Black Panthers.

Bergelar juara bertahan kejohanan berkenaan tidak membuatkan Perak Bison berasa selesa malah tekanan semakin dirasai untuk memberi persembahan terbaik pada saingan musim ini.

Tekong sensasi Perak Bison, Noraizat Mohd Nordin turut mengakui bahawa laluan untuk mempertahankan kejuaraan STL musim ini pastinya agak mencabar.

Lebih-lebih lagi ketika ini, pemain sepak takraw negara itu perlu memberi fokus kepada Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai Ke-37 yang akan berlangsung pada 1 hingga 8 September di Nakhon Ratchasima, Korat, Thailand.

"Saya belum lagi memulakan latihan dengan Perak Bison kerana saya perlu fokus berlatih bersama skuad negara untuk kempen Piala Raja Thai.

"Jadi mungkin lepas habis kejohanan itu, baru saya akan kembali berlatih bersama pasukan," katanya kepada Majoriti.

Perak Bison

Perejam Perak Bison, Noraizat enggan berasa selesa malah tekanan semakin dirasai untuk memberi persembahan terbaik pada saingan musim ini.

Meskipun pasukannya mempunyai keazaman untuk mengekalkan gelaran, namun saingan-saingan yang boleh digambarkan menerusi barisan pihak lawan tidak boleh dipandang ringan.

Ditanya mengenai keserasian bersama Perak Bison, Aizat yang kini berlatih bersama skuad negara mendedahkan bahawa dia berdepan dengan masalah tersebut kerana kini fokusnya adalah untuk kempen Piala Raja.

"Mungkin saya akan kembali dengan lebih awal untuk mencari keserasian bersama Perak Bison. Mungkin ada pemain baharu tapi nama saya tidak tahu siapakah pemain berkenaan," kongsinya.

Dalam masa sama, Aizat turut berkongsikan beberapa 'kunci' yang sentiasa menjadi panduan untuk dirinya.

"Bagi saya dalam perlawanan sepak takraw ini, ada tiga kunci utama yang perlu ada dalam diri pemain iaitu teamwork yang kuat, disiplin bagus dan permainan baik.

"Kalau ada ketiga-tiga kunci berkenaan, Insya-ALLAH pasukan itu akan pergi jauh," katanya.

Emas Anuar STL 2024 tahun ini merangkumi saingan STL Premier, STL Divisyen Satu dan STL Champions Cup, sebanyak 12 pasukan akan berentap masing-masing dalam saingan STL Premier dan STL Divisyen 1.

Manakala, STL Champions Cup pula bakal menghimpunkan empat pasukan teratas dari STL Premier dan empat pasukan jemputan antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram