[VIDEO] Aidil dedah dapat baca servis Thailand, Farhan idam hatrik Piala Dunia


  • Podium
  • Khamis, 23 Mei 2024

Malaysia menamatkan badi ke atas Thailand untuk muncul juara regu dan double selepas mencatatkan kemenangan 2-0 bagi kedua-dua acara di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Rabu. — Facebook/PSM

MALAYSIA terus mencipta kejutan apabila muncul juara bagi acara double dan regu Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas menundukkan Thailand dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan pada Rabu.

Pastinya impian pemain Malaysia untuk bergelar raja sepak takraw dunia tercapai selepas regu negara, Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias berjaya menumpaskan skuad Gajah Perang itu di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Farhan yang menggalas tugas sebagai kapten skuad negara bagaimanapun gembira dengan kemenangan bersejarah yang diraih skuad negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sebab Ultras, tekong Thailand merungut sistem 15 mata beri kelebihan Malaysia muncul juara Piala Dunia

BACA LAGI: Rejaman kejam, winning mentaliti Malaysia malukan Thailand di Piala Dunia

@azliralif Final Sepak Takraw Malaysia vs Thailand..Malaysia Juara Dunia Sepak Takraw 2024. #SepakTakraw #ISTAF #HarimauMalaya #Thailand ♬ Silent Track 3 Minutes - Sleep Sounds

"Kami datang sebagai satu pasukan dan kami main mengikut arahan jurulatih serta kami saling percaya dengan pemain yang diturunkan.

"Momen ni susah nak dapat sebab setiap kami lawan Thailand kita akan kalah, tapi kali ini untuk dua acara kita dapat tewaskan Thailand di final," katanya kepada Majoriti.

Farhan nyata puas dengan kemenangan tersebut apabila mengakui bahawa Thailand bukanlah pasukan terkuat kerana mereka telah buktikan pemenang pingat emas Sukan Asia Hanghzou mampu ditewaskan.

"Thailand tidaklah hebat mana yang seperti dikhabarkan dan Malaysia tetap boleh kalahkan pasukan Thailand kerana sistem 15 mata ini.

"Tapi saya akui kami juga dibantu oleh penyokong kerana mereka menaikkan semangat kami dan memberikan tekanan kepada Thailand," kongsinya.

Pemain sepak takraw berpengalaman itu berhasrat mahu melengkapkan kemenangan hatrik bagi acara berpasukan yang sudahpun bermula pada Khamis dengan Malaysia berdepan cabaran Brunei dan Jepun pada peringkat Kumpulan C.

"Dua kemenangan malam ini kami akan cuba lengkapkan hatrik pada team event nanti.

"Insya-ALLAH, gelaran raja sepak takraw akan berbalik kepada Malaysia," jelasnya.

Sementara itu, double negara yang dibarisi gandingan hebat Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin berjaya mengenepikan cabaran kelab gergasi Asia, Thailand di pentas akhir.

Bagi Noraizat, tekanan yang dihadapinya bersama Aidil Aiman ketika perlawanan akhir itu cukup tinggi namun bersyukur dapat mengatasinya.

"Inilah performance terbaik Malaysia lawan Thailand, Alhamdullilah, saya memang bersyukur sangat-sangat dan Aizat banyak membantu saya.

"Game hari ini kurang mistake, saya dengan Aizat boleh kawal permainan dengan sangat baik.

"Agak tertekan juga bila Thailand memberi tekanan apabila keputusan 16-16 tapi tak jangka kami tenang saja menahan servis mereka," kongsinya.

Menariknya aksi tersebut, Aidil sempat mendedahkan bahawa mampu membaca gerakan servis lawan.

"Mungkin sebab kami pernah friendly dan saya mudah membaca gerakan servis lawan.

"Saya tak rasa tertekan untuk final ini malah lagi bersemangat kerana ramai penyokong hadir memberi sokongan.

"Saya sangat-sangat gembira dengan kemenangan ini walaupun mengalami masalah kesihatan pada suku akhir berdepan Korea Selatan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram