Tekong kini boleh 'terbang', ISTAF cadang peraturan baharu bulatan servis


  • Podium
  • Rabu, 04 Sep 2024

Imbas kembali aksi Malaysia menentang Thailand dalam perlawanan akhir acara regu pada Kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa.

BERITA baik buat peminat sukan bola rotan apabila Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) akan mengemukakan cadangan baharu mengenai peraturan bulatan servis untuk membenarkan tekong mengangkat kaki tidak menyepak atau ‘terbang’ bagi meningkatkan kuasa dan perlaksanaan servis.

Menurut Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, masalah mengenai bulatan servis dan tekong sentiasa berlaku dalam kebanyakan kejohanan sejak 60 tahun lepas dengan pengurus pasukan dan jurulatih selalu menyalahkan pengadil.

Abdul Halim berkata, disebabkan masalah berbangkit itu, pemain yang akan menjadi mangsa keadaan.

BACA LAGI: Boikot bukan tanda benci tapi sebab sayang, fans kekal pendirian tak datang SNBJ

BACA LAGI: [VIDEO] 'Terima kasih TMJ', legenda Sabah terasa lebih dihargai lepas bebas gantung seumur hidup skandal rasuah

WhatsApp Image 2024-09-04 at 15.44.53

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader (kanan).

"Ini mesti dihentikan demi masa depan sepak takraw, bebas daripada sebarang kontroversi dan menjadikan pemain sebagai mangsa.

"Perubahan peraturan termasuk bulatan servis hendaklah digunakan hanya sebagai penanda tempat tekong mesti meletakkan kakinya semasa melaksanakan servis.

"Kedua, tidak menjadi kesalahan jika tekong ingin mengangkat atau tidak kaki yang tidak menyepak dalam pelaksanaan servis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya lagi, antara sebab mempertimbangkan perubahan peraturan termasuk, tekong sentiasa mempunyai objektif utama untuk menyepak bola dengan kuat semasa melakukan servis dalam apa jua bentuk.

Manakala, gaya sepakan selalunya memberi tekanan terhadap cara kaki yang tidak menyepak mesti diletakkan dalam bulatan servis.

"Kaki yang tidak menyepak mesti berada di dalam bulatan servis selepas pengadil mengumumkan mata. Bulatan servis merupakan penanda tempat tekong mesti memulakan servis.

"Kaki yang tidak menyepak akan sentiasa disesuaikan ke tahap mengangkatnya akibat salah balingan oleh pemain apit kanan. Kaki yang tidak menendang akan sentiasa terdedah kepada perlu diseret ketika hendak melakukan servis sehingga timbul kontroversi daripada perbuatan ini,” katanya.

Menurut Abdul Khader, cadangan itu akan dibentangkan semasa Kongres ISTAF Jumaat ini di Korat, Thailand yang diadakan sempena Kejohanan Piala Raja Thai yang sedang berlangsung untuk negara anggota membincangkannya dan memberi maklum balas dengan Sukan SEA 2025 di Thailand mungkin menjadi kejohanan pertama pelaksanaan peraturan baru itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram