Malaysia pilihan Palestin adakan perlawanan kelayakan Piala Dunia berdepan Jordan


  • Podium
  • Khamis, 08 Ogos 2024

Palestin akan beraksi di Malaysia untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026. — Agensi

MALAYSIA bakal menjadi tuan rumah buat pasukan kebangsaan Palestin dalam misi mereka mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Jordan.

Dalam siaran media yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis, perlawanan melibatkan kedua-dua negara itu akan diadakan pada 10 September 2024.

Perlawanan tersebut akan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

BACA LAGI: Pestabola Merdeka 2024 mungkin sunyi, 3 Ultras negeri nekad boikot kejohanan FAM

BACA LAGI: 'Siasatan AFC ibarat tamparan buat MFL dan FAM, jangan ingat mereka boleh pilih kasih'

Menurut FAM, wakil daripada FA Palestin mengadakan perbincangan dengan Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin dengan mereka mencari lokasi gelanggang neutral.

Selepas perbincangan dilakukan, Hamidin menawarkan Malaysia sebagai lokasi pilihan untuk Palestin mengadakan aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

"FAM menyifatkan ia satu penghormatan yang cukup besar buat Malaysia kerana menjadi satu-satunya negara yang diberi kepercayaan oleh Palestin untuk menjadi gelanggang neutral buat pasukan kebangsaan mereka.

"Pada masa sama, FAM akan memberikan sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada PFA sepanjang pasukan kebangsaan Palestin berada di negara ini," kata FAM.

Palestin diundi bersama-sama Korea Selatan, Iraq, Oman, Kuwait dan Jordan dalam kumpulan B. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram