JIKA ada yang memandang enteng terhadap kehebatan pemain wanita tanah air, Qaseh Rania Khairul Najib, dia kini tampil menepis pandangan itu apabila kini sudah menjadi pilihan utama jurulatih kelab gergasi Eropah, VfL Wolfsburg.
Ibarat satu dalam 1,000, Qaseh Rania boleh dianggap prodigi bagi bola sepak wanita tanah air apabila sudah mendapat peluang untuk menyertai sesi percubaan di kelab gergasi Eropah, VfL Wolfsburg selama dua minggu.
Sesi percubaan dua minggu nampaknya tidak mencukupi buat barisan kejurulatihan pasukan berkenaan apabila mereka memberinya lagi peluang untuk menunjukkan kemahirannya.
BACA LAGI: Wolfsburg idam bintang JDT, Selangor tapi lebih rela pilih Gergasi Merah saingi Harimau Selatan
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelah kaki ke Jerman, anak muda Puchong membara sarung jersi Harimau Malaya
Berkongsi perkembangan mengenai Qaseh Rania, Ketua Wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew mendedahkan bahawa pasukan berkenaan sudah bersedia menawarkan kontrak kepada anak jati Puchong tersebut.
"Apa yang saya dapat daripada pihak kejurulatihan dan teknikal di sana, mereka banyak beri respons positif. Walaupun umur dia 14 tahun tapi dia dah diserap Bawah 17 (B-17). Mereka suka dia (Qaseh Rania).
"Bawah 15 (B-15) dah pasti nak dia. Qaseh Rania bintang di (B-15). Dia pun ada menang pertandingan di sana. Bayangkan dia baru sampai di sana, tiga hari lepas itu, dia sudah diminta ke pertandingan dan mereka menang kejohanan antara bandar tersebut.
"Kami dah risau dia main untuk pertandingan itu sebab belum diketahui tahap skil Rania. Namun Rania dah ada skil dan ada pemikiran. Dua jurulatih beri dia tempat kesebelasan utama untuk Bawah 14 tahun," katanya kepada Majoriti.
Menurut Ken Hew, keputusan sama ada untuk menerima tawaran tersebut bergantung kepada ibu bapa Qaseh Rania susulan pemain berusia 14 tahun itu perlu menyelesaikan urusan persekolahan dan keluarga di tanah air.
Sebelum ini, 'ubi muda' terbaik dalam Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkenaan juga dipuji kerana menepati kriteria pemain yang baik seperti cemerlang dalam membuat keputusan.
"Dia diubah dari pemain sayap ke pemain tengah menyerang. Jurulatih di sana memang nampak bakat dia. Dia akan diserap di bawah skuad B-17 selain diberi pertambahan dua minggu lagi untuk berlatih di sana.
"Wolfsburg dah rancang nak bawa dia pada mid term tapi sebab Rania perlu urus bab persekolahannya, jadi tidak dapat berbuat demikian.
"Dari perspektif B-15 dia dah dapat, sekarang keputusan atas mereka. Mereka (keluarga Rania) nak dia sertai B-17 pada tahun depan sebab nak selesaikan urusan di Malaysia. Wolfsburg pun nak siapkan dokumentasi untuknya di Jerman," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram