[VIDEO] Terlepas aksi sulung bersama Wolfburg angkara 'flight delay', Qaseh Rania tak patah semangat, sanggup main posisi lain


  • Podium
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Qaseh Rania diberikan peluang untuk menyertai sesi percubaan di VfL Wolfsburg.

PENAT lelah hampir setahun menguruskan proses dokumentasi dan disulam dengan latihan intensiti tinggi, prospek bola sepak wanita negara iaitu Qaseh Rania Khairul Najib akhirnya berlepas ke Wolfsburg, Jerman bagi mengejar impiannya menjadi bintang profesional.

Qaseh Rania akan berkelana ke Eropah pada Ogos depan dengan 'ubi muda' itu akan menyertai sesi percubaan bersama VfL Wolfsburg terlebih dahulu sebelum mengetahui sama ada bakal diserap ke dalam pasukan belia atau tidak.

Bercakap mengenai keterujaannya untuk menimba ilmu dan pengalaman di kelab gergasi Eropah itu, pemain berusia 14 tahun itu sudah sedia dengan cuaca, makanan, persekitaran dan termasuklah dengan latihan yang jauh lebih sukar jika dibandingkan dengan suasana liga domestik.

BACA LAGI: Bakal sertai kelab Jerman tak lama lagi, Qaseh Rania angkat Arif Aiman sebagai idola

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelah kaki ke Jerman, anak muda Puchong membara sarung jersi Harimau Malaya

"Memang tak sabar nak buat semua benda sebab dah lama Rania bersedia untuk perkara ini. Saya nak buktikan bakat yang Rania ada di sana. Rania paling teruja nak tahu persekitaran di Wolfsburg dan cara latihan yang diterapkan di kelab itu.

"Setakat ini dah pandai cakap sikit-sikit seperti perkenalkan diri. Dari segi makanan pula, buat masa sekarang Rania dan Papa ada bawa bekalan makanan macam sambal. Tapi Rania kena cepat belajar makanan baharu.

"Dari segi cuaca pula agak sejuk tapi Insya-ALLAH Rania akan cepat menyesuaikan diri," katanya yang akan ditemani ayahnya, Khairul Najib selama enam minggu di sana.

Pemain muda terbaik dalam Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada Selasa sebelum berlepas ke Wolfsburg.

Pelepasan Qaseh Rania ke Jerman juga diiringi wakil Southeast Asia Wolfsburg, Ken Hew; Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

WhatsApp Image 2024-08-06 at 11.13.40

Qaseh Rania (dua dari kiri) dan ayahnya, Khairul Najib (kanan) bersama Ketua Wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew (dua dari kanan); Penasihat Wolfsburg Asia Tenggara, Datuk Frank Steinleitner (kiri) dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (tengah).

Qaseh Rania yang tiba seawal pukul 6.30 pagi di KLIA itu bagaimanapun dihimpit nasib kurang baik apabila penerbangan yang dijadualkan berangkat pada pukul 9.50 pagi itu ditunda hampir tiga jam sehingga menyebabkan pemain itu terlepas perlawanan pertama bersama Wolfsburg.

Sebelum penerbangannya ditunda, Qaseh Rania difahamkan akan tiba di Jerman pada 6 Ogos petang hari dengan jadualnya sudah diisi dengan latihan-latihan bersama bakal rakan sepasukan dan akan menyertai satu perlawanan persahabatan pada Khamis.

"Terlepas satu perlawanan memang kecewa, kalau boleh hari ini (Selasa) memang nak bermain dah. Itu antara halangan yang perlu dihadapi tapi Rania akan mencuba dan buat sehabis baik setibanya di sana.

"Sampai di sana pun, Rania terbuka untuk bermain apa pun. Rania memang tidak kisah nak main posisi apa seperti attacking mid, backup striker, winger tapi janji dapat tempat," jelasnya yang sedia berkorban untuk melupakan peranan penyerang sekiranya diberikan tanggungjawab lain.

Dalam pada itu, ayahnya iaitu Khairul juga akhirnya lega segala perjuangannya untuk memberitahu kepada dunia mengenai bakat anak perempuannya akhirnya akan tercapai menerusi peluang yang diberi Wolfsburg.

"Syukur kerana selepas hampir setahun, akhirnya dah tiba. Tinggal nak teruskan perjuangan untuk capai matlamat di sana. Sepanjang setahun, insentif latihan sangat teliti. Saya fokus fizikal sebab di sana fizikal mainkan peranan. Semua saiz besar, kekuatan genetik beza dengan Asia.

"Setahun ini juga fokus pada teknikal dan psikologi supaya tak hilang fokus. Kita ambil kursus bahasa untuk sekurang-kurangnya Rania tahu sikit-sikit perkataan yang pemain dan coach tuturkan di sana. Cakap. Sekarang bergantung kepada rezeki. Dah dapat peluang begini kena buat sehabis baik," jelasnya.

Untuk rekod, pasukan Bundesliga berkenaan pernah menjulang dua gelaran Liga Juara-Juara Wanita UEFA (UWCL) pada 2013 dan 2014 selain beberapa kejuaraan domestik.

Malah, skuad yang kini dibimbing Tommy Strooy itu pernah diangkat sebagai kelab wanita terbaik di dunia sebanyak dua kali berturut-turut bermula 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram