Perangai budak-budak Safawi Rasid gagal kekang Selangor, lebih layak ke final jumpa Kedah atau JDT


  • Podium
  • Sabtu, 03 Ogos 2024

Pemain Selangor meraikan jaringan semasa berdepan TFC dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium MBPJ pada Sabtu. — Selangor FC Official

PALUAN gendang dan sorakan memenuhi Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, Selangor apabila skuad Gergasi Merah berhasil memenangi perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam separuh akhir kedua Piala FA 2024 pada Sabtu.

Kemenangan itu memastikan skuad Gergasi Merah kendalian Nidzam Jamil mara ke pentas final dengan agregat 6-4. Selangor tumpas 1-2 di Terengganu pada aksi separuh akhir pertama dua minggu lepas.

Selangor FC bermula dengan garang apabila tandukan ketua pasukan, Safuwan Baharudin menghadiahkan satu gol buat Gergasi Merah hasil sepakan penjuru dari Quentin Cheng seawal minit ketiga.

Selang dua minit kemudian, situasi bola mati sekali lagi dimanfaatkan oleh Gergasi Merah apabila Safuwan mencetak gol kedua buat skuad kendalian Nidzam Jamil sekali lagi menerusi tandukan bagi memastikan Selangor berada di kedudukan selesa.

BACA LAGI: Pearly Tan - M. Thinaah gagal genggam pingat gangsa, namun sudah menang hati emas jutaan rakyat Malaysia

BACA LAGI: Meta jamin tiada gangguan siaran langsung 'Himpunan Pembebasan Palestin'

6156957738077372400

Selangor FC yang masih menunjukkan taringnya dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2024 pada Sabtu. — Selangor FC Official

Tersentak dengan dua jaringan awal dari pasukan tuan rumah, pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner turut tidak ketinggalan mendapatkan gol sulung perlawanan hasil dari sumbangan penyerang utama, Ismaheel Akinade.

Memasuki separuh masa kedua, asakan tuan rumah bersambung demi mendapatkan gol kelebihan bagi mengesahkan slot mereka ke pentas akhir.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Safuwan meraih gol hatrik menerusi satu gol voli yang menewaskan Syed Nasrulhaq.

Gol itu membawa keriangan buat penyokong skuad Gergasi Merah yang menghidupkan suasana apabila mereka tahu agregat memihak kepada pasukan itu.

Tetapi, tumpuan turut diberikan kepada pemain sayap Terengganu FC, Safawi Rasid yang menjadi sasaran cemuhan melihat kepada aksinya di atas padang.

Safawi juga kelihatan kebudak-budakan apabila kembali cuba membuat provokasi di stadium apabila membuat isyarat seolah-olah tidak dapat mendengar terhadap penyokong Selangor FC ketika digantikan pada penghujung babak kedua.

Serangan Selangor FC tidak terhenti di situ apabila pada masa kecederaan, penyerang gantian mereka, Reziq Bani Hani menjaringkan gol keempat selepas dia mengambil kesempatan daripada situasi bola muntah dalam kotak penalti.

6156552460668354325

Faisal Halim yang membuat kemunculan pertama di atas padang Stadium MBPJ pada Sabtu.

Terdahulu sebelum sepak mula, penyerang sayap Selangor FC, Faisal Halim menghangatkan stadium apabila membuat kemunculan pertama apabila berada di bangku simpanan buat kali pertama sejak menjadi mangsa serangan simbahan asid pada Mei lalu.

Pemain kebangsaan itu disenaraikan pengendali pasukan, Nidzam Jamil di bangku simpanan untuk aksi kedua Piala FA di MBPJ, Selangor menentang Terengganu FC pada Sabtu.

Kemasukan pemain tersebut untuk sesi pemanas badan menerima sorakan cukup hebat dengan puluhan ribu penyokong yang hadir sudah terlalu lama menantikan kepulangannya.

Lawan menanti Selangor di final merupakan pemenang antara Kedah dan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua pada Ahad. JDT mendahului secara agregat 2-1. Aksi final Piala FA dijadual berlangsung pada 24 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram