‘Itulah sikap atlet sebenar’, bekas jurulatih puji semangat Ziyad Zolkefli raih perak di Paralimpik


  • Podium
  • Rabu, 04 Sep 2024

Ziyad meraih pingat perak di Sukan Paralimpik 2024.

SEMANGAT atlet olahraga negara, Ziyad Zolkefli kembali bangkit daripada kekecewaan ketika Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun untuk meraih pingat perak semasa Sukan Paralimpik 2024 dekat Paris, Perancis wajar mendapat pujian.

Menurut bekas jurulatihnya, R. Jaganathan, Ziyad menunjukkan semangat atlet sebenar apabila meraih pingat perak acara lontar peluru lelaki kategori F20 (kurang upaya intelek).

Baginya, kekecewaan tidak berjaya memberikan persaingan semasa di Tokyo berjaya ditebus dengan kilauan perak buat Malaysia.

BACA LAGI: Paralimpik Paris: Kilauan perak buat Ziyad

BACA LAGI: Paralimpik Paris: Ziyad sudah lupakan kekecewaan Tokyo, mahu pecahkan rekod di bumi Paris

“Masa di Tokyo, Ziyad gagal kerana isu reporting, tapi itu cerita lama. Tapi dia kembali semula dan meraih pingat perak, saya sangat gembira.

“Di Paris, dia tunjukkan semangatnya dan memberikan persembahan terbaik, dia tidak mengalah. Itulah sikap seorang atlet yang sebenar. Walaupun dia mendapat pingat perak, tapi dia juara di mata saya,” kata Jaganathan kepada Majoriti.

Sebelum ini, peluang Ziyad untuk meraih pingat di Tokyo lebur akibat kesilapan teknikal sewaktu peringkat akhir acara disertainya.

Kelewatan Ziyad tiba ke lokasi pertandingan menyebabkan penyertaannya dibatalkan. Lebih perit, rekod lontarannya sejauh 17.94 meter yang sepatutnya menjadi rekod dunia ketika itu tidak diiktiraf.

Bagi Jaganathan, dia mengharapkan tiada lagi tekanan menggunung diletakkan terhadap bahu Ziyad selepas ini.

Walaupun dianggap sebagai harapan untuk membawa pulang pingat, tetapi masih ada atlet muda berpotensi untuk bawa pulang kejayaan buat Malaysia.

“Jangan letakkan tekanan ke atas dia. Dia sudah lakukan yang lebih baik, malah sudah ada bakat baharu muncul setiap tahun.

“Saya rasa sangat terharu dengan persembahan atlet olahraga kita. Pada saya, mereka semua terbaik,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram