NAMA R. Jaganathan sentiasa mekar dalam arena Paralimpik negara terutamanya dalam sukan olahraga.
Jurulatih itu sentiasa diingati kerana berjaya melahirkan ramai atlet Paralimpik berkualiti tinggi seperti Ridzuan Puzi, Afiq Ali Hanafiah dan Nasharuddin Mohamad.
Namun begitu, jodohnya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) terhenti pada 2022 apabila kontraknya tidak disambung.
BACA LAGI: ‘Itulah sikap atlet sebenar’, bekas jurulatih puji semangat Ziyad Zolkefli raih perak di Paralimpik
BACA LAGI: 'Cungkil bakat sukan para di peringkat akar umbi, jaga kebajikan walau sudah bersara'
Ridzuan Puzi (kiri) antara anak didik Jaganathan.
Tempatnya diganti oleh Ahmad Rafee Ariffin yang merupakan pembantunya sejak 2018 dengan tugasan terakhirnya bersama skuad kebangsaan ketika Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Dua tahun selepas pemergiannya daripada MSN, Jaganathan akhirnya membuka mulut berkenaan penamatan kontraknya pada 2022.
Bukan kerana kes kontroversi melibatkan atlet lontar peluru, Ziyad Zolkefli, tetapi Jaganathan mengatakan kontraknya ditamat kerana dianggap 'terlalu tua' untuk menjadi jurulatih.
"MSN gugurkan saya kerana saya (dianggap) sudah tua. Dalam olahraga, tiada had umur untuk seseorang itu menjadi jurulatih.
"Pengarah MSN ketika itu, Datuk Shapawi Ismail yang menggugurkan saya kerana saya dianggap terlalu tua," kata Jaganathan kepada Majoriti.
Sebagai rekod, Jaganathan antara watak yang berada di Tokyo sewaktu penyertaan Ziyad dalam acara lontar peluru kategori F20 (kurang upaya intelek).
Jaganathan mendedahkan yang sewaktu Ziyad tidak dibenarkan untuk bertanding, dia ada menghubungi pihak Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) untuk merayu agar atlet tersebut boleh beraksi.
Menurut jurulatih tersebut, rayuannya agar Ziyad boleh bertanding diterima namun seandainya ada pihak lawan melakukan bantahan, status atlet tersebut akan ditukar menjadi 'tidak layak' atau disqualified.
Kemenangan Ziyad di Tokyo dinafikan selepas gagal melaporkan diri tepat pada waktunya di bilik menunggu.
Disebabkan bantahan dilakukan oleh wakil Ukraine kerana Ziyad dan dua atlet daripada Ecuador dan Australia lambat masuk ke bilik menunggu, pingat emas yang sepatutnya menjadi miliknya terlepas dari genggaman.
Menurut Jaganathan, dia masih boleh menerima jika alasan MSN menamatkan kontraknya kerana gagal menjalankan tugas dengan baik.
Tetapi, dengan alasan terlalu tua, Jaganathan nyata kecewa dengan perkara itu kerana padanya, kerjaya sebagai jurulatih, guru atau pun doktor tiada had umur. Kerjaya tersebut sepatutnya boleh diteruskan selagi mampu mengerah kudrat.
Hingga kini, Jaganathan mengakui dirinya berasa terkilan dan masih kecewa dengan apa yang berlaku.
"Perasaan (kecewa) itu ada. Saya bertungkus-lumus bangkitkan Paralimpik tapi sudahnya mereka tendang saya keluar macam itu saja.
"Saya yang bangunkan Paralimpik ini daripada bawah, hinggakan saya dicaci, dikutuk ke mana saja saya pergi, tapi saya sabar hingga dapatkan keputusan cemerlang. Mereka seolah-olah tidak menghormati dan menghargai usaha saya selama ini," ujar Jaganathan.
Jaganathan menerima Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan, Anugerah Majlis Sukan Negara sebanyak tiga kali iaitu pada 2008, 2014 dan 2016. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram