KONTINJEN atlet negara bakal memulakan kempen mencapai sasaran membawa pulang pingat emas dalam Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September depan.
Dengan prestasi membanggakan pada edisi sebelum ini, atlet paralimpik negara pastinya dengan cukup berkeyakinan untuk mencapai rekod yang lebih baik.
Sementara itu, di luar gelanggang, kontinjen paralimpik Malaysia turut mendapat liputan yang cukup positif berkenaan dengan pakaian seragam rasmi oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang bakal disarung oleh mereka.
Pujian itu boleh dilihat ketika ia dilancarkan pada awal Julai lalu.
Reaksi itu jelas sama sekali berbeza berbanding dengan pakaian seragam yang diperkenalkan oleh kontinjen atlet Olimpik Paris 2024.
Dengan rekaan rona putih sebagai warna utama di samping belang harimau yang digayakan dengan warna biru, merah dan kuning, ia disifatkan cukup segar dan lebih cantik.
Dalam pada itu, jaguh lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly turut tampil membawa peminatnya melihat isi bagasi pakaian yang bakal dibawanya ke Olimpik Paris 2024.
Menerusi satu video di Instagramnya, atlet negara itu dilihat berkongsikan pilihan pakaian dan barangan yang diterimanya untuk temasya kali ini.
Dua pasang kasut yang diterima Abdul Latif untuk dibawa ke Sukan Paralimpik 2024.
Ia antaranya beg rasmi, pakaian seragam MPM, jersi latihan dan beberapa helai t-shirt daripada penaja seperti proapparel, Fifty7k Sportsweat, Fexiewear, Voltra serta nakawan.
Selain itu, Abdul Latif turut berkongsikan dua pasang kasut yang diperolehinya iaitu kasut sukan jenama tempatan Voltra dan kasut Skechers yang akan digunakan untuk acara pembukaan.
"Team are going to be looking fresh this year (Pasukan akan kelihatan segar tahun ini)," tulis Abdul Latif.
Latif Romly merupakan pemenang pingat emas acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) di Sukan Paralimpik edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan Tokyo 2020, Jepun.
Pada edisi kali ini, MPM meletakkan sasaran empat emas sekali gus melengkapkan keseluruhan 10 emas diraih Malaysia sepanjang penglibatan negara dalam temasya Sukan Paralimpik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram