ATLET para negara, Ziyad Zolkefli mengakui cintanya terhadap Paris, namun tidak mahu hilang fokus dengan mengadakan lawatan ke City of Light ketika ini.
Ini kerana atlet berusia 34 tahun berkenaan memiliki misi untuk memecahkan rekod dunia, sekali gus meraih pingat emas dalam acara lontar peluru pada penampilan keempatnya di temasya Paralimpik.
"Saya pernah berada di sini dan bandar ini cukup cantik, tetapi saya akan melawatnya kemudian hari. Saya pernah beraksi di Paris sebelum ini, iaitu pada Kejohanan Dunia dan dua Grands Prix.
BACA LAGI: Paralimpik Paris: Liek Hou, Fareez Anuar menang mudah aksi pertama acara badminton
Ziyad mengharumkan nama negara dengan pingat emas di Paralimpik Rio 2016.
"Saya mahu memastikan lawatan keempat saya di sini bermakna. Saya pernah memenangi pingat perak dalam Kejohanan Dunia, jadi ini masanya untuk membawa pulang emas," katanya.
Malah, Ziyad juga berharap kempen kali ini dapat memadam memori pahit yang dialaminya ketika temasya Paralimpik di Tokyo selain mahu memecahkan rekod dunia.
Pada penganjuran yang lalu, atlet berkenaan pulang dengan tangan kosong meskipun mencatatkan rekod 17.94 meter (m) dalam pusingan akhir apabila pihak penganjur mendapati Ziyad lewat melaporkan diri ke bilik menunggu.
Hukuman dihadapinya itu menyaksikan pingat emas yang diraih ditarik semula sebelum peserta dari Ukraine, Maksym Koval diangkat sebagai pemenang.
Dalam pada itu, Ziyad mahu bersaing untuk meraih emas kali ini, namun percaya atlet lebih muda akan memberikan saingan kepadanya.
Ziyad mengalami kekecewaan selepas kemenangannya terbatal di Paralimpik Tokyo 2020.
"Tubuh dan minda saya berada di tahap terbaik ketika ini. Saya yakin untuk membawa pulang pingat emas kali ini walaupun ada cabaran daripada pelontar lebih muda yang boleh beri kejutan," katanya.
Dalam empat penampilan di temasya Paralimpik, Ziyad sudah meraih satu pingat emas dari Rio 2016 serta gangsa dalam temasya diadakan di London 2012.
"Menyambut kemerdekaan di Paris sudah memberikan saya keberanian dan kekuatan untuk melakukan yang terbaik buat negara. Saya sudah melupakan episod di Tokyo.
"Saya mahu mencipta sejarah di sini dan membuktikan pengorbanan saya meninggalkan keluarga sepanjang dua tahun ini berbaloi," katanya.
Menurutnya, dia hanya sempat meluangkan beberapa cuti hujung minggu bersama isteri, Zafira Nasir serta tiga anaknya, Zuhayra Zafra, Tariq Xavir dan Muhammad Athariz sebelum temasya kali ini. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram