SKUAD ragbi negara memulakan langkah kiri dalam Kejohanan Asia Ragbi 2024 selepas mengalami kekalahan pahit di tangan Korea Selatan dengan keputusan akhir 5-55 pada Ahad lalu (2 Jun).
Dalam perlawanan itu, Korea Selatan mendominasi perlawanan dengan mata 38 berbalas 0, meninggalkan skuad negara jauh di belakang pada separuh masa pertama.
Tidak menyerah kalah, Malaysia menunjukkan semangat juang apabila M. Shobrey Amok berjaya membuat percubaan yang menghasilkan mata pertama untuk negara pada minit ke-48 perlawanan.
BACA LAGI: 'Cakap tutup nak buat padang', ada penyokong 'cemburu' pasukan ragbi lanyak Stadium Darul Makmur
BACA LAGI: Ragbi sentuh lebih selamat, beri persediaan buat pemain cilik masuk fasa lasak
Namun begitu, usaha itu masih belum mencukupi untuk mengejar kelebihan besar Korea Selatan.
Korea Selatan terus menambah mata sehingga akhir perlawanan, mengakhiri perlawanan dengan keputusan 55 berbalas 5.
Bercakap kepada Majoriti, ketua jurulatih pasukan ragbi negara, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar berkata, kekalahan kepada Korea Selatan merupakan satu pengalaman yang berharga namun begitu perasaan kecewa tetap dirasai barisan kejurulatihan.
"Kekalahan kepada Korea Selatan sememangnya satu pengalaman berharga kerana dapat bermain dengan 'Powerhouse Asia Rugby' seperti pasukan Korea Selatan.
"Perasaan barisan kejurulatihan amat kecewa kerana beberapa perancangan pasukan tidak berjaya kerana tekanan yang diberikan oleh pasukan Korea Selatan untuk menggagalkan usaha pasukan Bunga Raya (skuad negara) mendapatkan mata.
"Bagaimanapun barisan kejurulatihan percaya pemain telah cuba sehabis baik untuk bersaing," katanya.
Shobrey (dihimpit dua pemain Korea Selatan) berjaya membuat percubaan yang menghasilkan mata pertama untuk negara pada minit ke-48 perlawanan. — Malaysia Rugby
Tambahnya lagi, kehadiran M. Shobrey Amok dalam pasukan kebangsaan kali ini diharapkan akan menjadi salah seorang pemain utama skuad Bunga Raya.
"Shobrey merupakan salah satu bakat besar untuk pasukan kebangsaan dan ini merupakan penampilan pertama beliau bersama pasukan kebangsaan.
Diharapkan beliau akan menjadi salah satu tunjang utama pasukan Bunga Raya pada masa akan datang.
"Kami akan berusaha sehabis baik untuk bersaing meskipun mengetahui Hong Kong merupakan juara bertahan bagi Asia Rugby Championship," jelasnya.
Ditanya mengenai moral pemain, Farid Syazwan tidak menafikan semangat pasukan sedikit luntur namun akan cuba sehabis baik untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
Skuad Bunga Raya tewas dengan keputusan 5-55 di tangan Korea Selatan. — Malaysia Rugby
"Moral pemain sedikit menurun kerana kekalahan dari perlawanan pertama tetapi barisan kejurulatihan akan sentiasa mencuba sehabis baik untuk menaikkan semula moral pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
"Apa-apa pun keputusan dari kempen Asia Rugby Championship tahun ini ia merupakan proses penting untuk pasukan Bunga Raya menambah baik dan meningkatkan keupayaan pasukan untuk menjadi pasukan yang lebih baik di masa akan datang," ujarnya.
Kekalahan di tangan Korea Selatan merupakan cabaran besar buat skuad negara, namun diharapkan semua pemain berada dalam keadaan mental dan emosi yang stabil untuk menghadapi perlawanan seterusnya menentang Hong Kong di laman sendiri pada 8 Jun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram