Muat naik foto Harimau Kumbang, kembali ‘pair’ bersama Syamer Kutty lebih ideal buat Nazmi Faiz selain sekadar panaskan bangku simpanan JDT


  • Podium
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Nazmi Faiz merekodkan tiga penampilan Liga Super sahaja setakat ini. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) yang baru sahaja menerima tujuh pemain baharu menyaksikan senario persaingan sengit untuk merebut posisi dengan tonggak lama di kem Harimau Selatan akan kerap berlaku.

Bek tengah Korea Selatan, Park Jun-heong; Iker Undabarrena, Eddy Israfilov (pemain tengah); Enzo Lombardo, Jorge Obregon (penyerang); penjaga gol muda, Christian Abad dan Andoni Zubiaurre merupakan tujuh pemain baharu yang sudah didaftarkan oleh JDT.

Kehadiran lambakan pemain baharu itu akan menutup ruang pemain lama mendapatkan minit permainan namun pada masa sama, ia sebenarnya peluang untuk mereka beraksi bersama pasukan lain.

BACA LAGI: Budak baik’ Australia sah milik Harimau Kumbang, berat dan tinggi persis legenda kelab zaman 90-an

BACA LAGI: Kurang hangat diperkatakan, 3 perpindahan tak cukup saga termasuk bintang muda JDT

Pinjaman ke pasukan lain seperti yang sering diguna pakai oleh Harimau Selatan antara alternatif terbaik untuk pemain-pemain tersisih JDT mendapatkan ruang mengembalikan potensi mereka.

Antara pemain yang sedang dipinjamkan ke pasukan lain dan sedang berada di tahap terbaiknya ialah Syamer Kutty Abba. Tonggak tengah bertahan itu sedang menikmati musimnya bersama Penang FC.

Syamer Kutty yang dipinjamkan ke skuad Harimau Kumbang pada awal musim ini dimainkan sebagai pemain kesebelasan utama mereka tanpa gagal, jika dibandingkan ketika dia berada bersama Harimau Selatan.

Statistik terakhir anak jati George Town, Pulau Pinang itu bersama Harimau Selatan itu sekadar bermain sebanyak 189 minit bagi saingan Liga Super dan tampil dalam lapan perlawanan sahaja pada musim lalu.

syamerrrr

Syamer Kutty ketika aksi menentang Filipina. — Facebook/FAM

Karier baharu di Penang juga membantu Syamer Kutty kembali menjadi nadi utama Harimau Malaya dengan baru-baru ini pemain berusia 27 tahun itu mencetak satu gol sewaktu membantu Malaysia menang 2-1 ke atas Filipina dalam aksi Pestabla Merdeka.

Situasi yang berlaku kepada Syamer Kutty itu nampaknya akan terjadi kepada rakan setugasnya di JDT, Nazmi Faiz Mansor dengan muncul khabar angin mengatakan pemain tengah tersebut akan menyertai Harimau Kumbang.

Dakwaan Nazmi Faiz akan bersatu semula dengan Syamer Kutty itu muncul selepas pemain berusia 30 tahun itu dilihat memuat naik gambar Harimau Kumbang di Insta Story peribadinya baru-baru ini.

Sekiranya pinjaman berkenaan berlaku, Nazmi Faiz juga berpeluang untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas kali terakhir pada perlawanan persahabatan menentang Tajikistan pada 2022.

WhatsApp Image 2024-09-06 at 10.34.39

Tangkap layar Insta Story Nazmi Faiz.

Setakat ini, pemain kelahiran Shah Alam, Selangor tersebut masih memanaskan bangku simpanan JDT apabila sekadar merekodkan tiga penampilan Liga Super sahaja.

Penghijrahannya ke skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli juga akan membantu Harimau Kumbang mendapatkan rentak semula dan memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Liga Super.

Untuk rekod, Harimau Kumbang kini menghuni tempat ketujuh liga dengan merekodkan dua kemenangan, empat seri dan dua kekalahan dalam lapan perlawanan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram