LAGU Negaraku berkumandang di bumi Paris selepas jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou berjaya meraih pingat emas pertama bagi perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dalam Sukan Paralimpik Paris 2024 pada Isnin.
Liek Hou berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Tokyo 2020 selepas mengalahkan lawannya dari Indonesia, Suryo Nugroho dengan mata 21-13, 21-15.
Bagaimanapun, fokus kini pastinya tertumpu kepada jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang akan memulakan cabaran di Paris dalam kategori 72 kilogram (kg) lelaki di Porte de La Chapelle Arena pada Jumaat.
BACA LAGI: Makin kritikal, tak cukup boikot latihan, khabarnya pemain nekad tinggalkan Sang Kenari
BACA LAGI: Isu jentera serangan tumpul, 3 pemain termasuk bintang JDT wajar dipinjam Tok Gajah
Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin.
Sandaran emas kedua buat kontinjen Malaysia pastinya terletak di bahu atlet berusia 25 tahun itu apabila sebelum ini berjaya meraih pingat berkenaan bagi edisi 2020 di Tokyo.
Bonnie berkata, impiannya kini hanya berhasrat untuk mengekalkan kejuaraan bagi kategori 72 kg dan mahu menyumbang pingat emas kedua buat kontinjen Malaysia.
"Hasrat saya mahu melakukan yang terbaik dan memberi pingat emas kedua untuk negara.
"Saya perlu bermula dengan kuat kerana apa sahaja boleh berlaku dalam pertandingan berisiko tinggi seperti ini.
“Saya tidak tahu apa yang pesaing saya rancangkan, jadi saya tidak boleh ambil mudah sesiapa,” kata Bonnie kelahiran Sarawak, yang tidak pernah tewas dalam kategori itu sejak naik ke kategori 72kg pada 2020.
Menurut Bonnie, Mahmoud Attia dari Mesir dan Donato Telesca dari Itali merupakan pencabar terdekatnya untuk bersaing mendapatkan pingat emas kali ini.
"Saya perlu berhati-hati kerana saya tidak tahu strategi mereka, tetapi dari segi mental, saya sudah bersedia.
"Negara mengharapkan saya dan saya berharap semua rakyat Malaysia akan mendoakan kejayaan saya,” tambah Bonnie, yang juga pembawa Jalur Gemilang ketika upacara pembukaan rasmi temasya sukan berprestij itu pada 28 Ogos.
Sekiranya badang kerdil dari Sarawak itu berjaya mengenepikan cabaran dari Mesir dan Itali, rakyat Malaysia sekali lagi akan berpeluang mendengar lagu Negaraku berkumandang di Paris.
Untuk rekod, Bonnie muncul juara di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac. — The Star/LIMTEIKHUAT
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram