'Penswastaan pasukan negara tak pernah digalakkan FIFA, banyak hal tak boleh dilepas pandang'


  • Podium
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Harimau Malaya menjadi sasaran Tunku Ismail untuk diswastakan bagi memperbaiki prestasi pasukan. — Facebook/FAM

IDEA pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menswastakan skuad kebangsaan tidak menerima sambutan baik daripada peminat bola sepak negara.

Meskipun langkah itu dibuat bagi menambah baik reputasi Harimau Malaya, rancangan tersebut seperti tidak logik untuk direalisasikan di peringkat antarabangsa.

Ini kerana tiada negara pernah mengambil langkah tersebut walaupun diakui penswastaan pasukan negara dapat membawa keuntungan besar dari segi komersial.

BACA LAGI: Terbuka untuk rundingan lanjut, ejen Park Hang-seo dedah mahu jumpa FAM

BACA LAGI: Perbincangan tak sentuh peranan jurulatih HM, ejen nafi Park Hang-seo 'minta kerja' dengan FAM

DB26989C-AD38-4E49-A6E7-83CC710A318C

Pekan beranggapan penswastaan skuad kebangsaan tidak pernah digalakkan.

Malah, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, tiada kenyataan pernah dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai pendekatan demikian.

"Pada andaian saya, kalau FIFA sendiri tidak banyak mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini, ia sudah pasti bukan suatu amalan yang digalakkan kepada ahli gabungannya walaupun ianya bukan kesalahan.

"Jadi, pada logik akal saya ia bukan sesuatu yang digalakkan FIFA. Jika tidak, sudah pasti hari ini sudah banyak negara menswastakan pasukan kebangsaan mereka," katanya kepada Majoriti.

Ketika ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merupakan sebuah badan separuh kerajaan kerana mereka sering menerima suntikan dana daripada kerajaan.

Bagaimanapun, pada masa sama, badan induk bola sepak negara itu sering mencari peruntukan sendiri dengan pelbagai tajaan diterima, lebih-lebih lagi selepas reputasi mereka kian megah kebelakangan ini.

WhatsApp Image 2024-09-06 at 7.28.56 PM

Tunku Ismail memberi cadangan bagi menaikkan lagi reputasi Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Pekan berkata, penswastaan pasukan bola sepak kebangsaan tidak boleh menjanjikan perubahan meskipun langkah berkenaan kerap membuahkan hasil dalam bidang lain.

"Ia suatu bisnes yang lebih kompleks kerana mereka bukan sahaja terpaksa menjaga pemegang taruh atau 'rakan kongsi', tetapi juga abang besar mereka iaitu FAM, rakan-rakan strategik lain termasuk penaja, media dan sebagainya.

"Namun cabaran paling besar bagi penswastaaan adalah untuk memuaskan hati pihak berkepentingan atau 'stake holder', peminat dan penyokong bola sepak negara.

"Walaupun mereka bukan pelabur yang menyumbang wang ringgit, mereka adalah pihak yang tidak boleh dipandang remeh dalam menentukan sama ada projek penswastaan itu nanti akan berjaya atau tidak," katanya.

Berdasarkan idea diberikan Tunku Ismail, penswastaan Harimau Malaya akan menyaksikan mereka dipelopori ketua pegawai eksekutif atau pengarah teknikal dan dibantu beberapa jawatan lain seperti pengarah kejurulatihan dan pengarah strategi.

Pelaburan secara besar-besaran sudah tentu diperlukan sekiranya cadangan itu mahu direalisasikan, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mahu kembali bersaing di peringkat Asia Tenggara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram