SAINGAN Pestabola Merdeka 2024 bermula pada Rabu, 4 September dengan Malaysia memulakan sepak mula berdepan Filipina.
Dianggap pasukan pilihan, Harimau Malaya yang dilatih oleh Pau Marti dijangka tiada masalah untuk mara ke perlawanan akhir yang diadakan pada 8 September untuk bertemu Tajikistan atau Lubnan.
Ketika ini, Filipina dilihat tempang. Namun begitu, Harimau Malaya tidak boleh memandang rendah kemampuan The Azkals.
BACA LAGI: Belum sempat jumpa Harimau Malaya, jurulatih Filipina letak jawatan sebelum Pestabola Merdeka
BACA LAGI: Pestabola Merdeka: Filipina pilih bek Perak berbanding bintang Terengganu
Tempang tanpa jurulatih
Sebelum sepak mula kejohanan jemputan tersebut, kem Filipina digegarkan dengan peletakkan jawatan pengendalinya, Tom Saintfiet.
Saintfiet meletakkan jawatannya beberapa hari sebelum skuad Filipina bertolak ke Malaysia untuk mengambil tugas sebagai jurulatih Mali.
Tom Sainfiet meninggalkan Filipina beberapa hari sebelum bertemu Malaysia.
Ia jelas menganggu persiapan The Azkals dengan mereka kini dilatih oleh pengendali Norman Fegidero Jr buat sementara waktu.
Ketiadaan Sainfiet mungkin memudahkan tugas Harimau Malaya, tetapi mereka masih ada beberapa pemain yang mampu menyukarkan tugas Malaysia mendapatkan kemenangan.
Tembok yang kukuh
Walaupun tanpa pengendali berpengalaman seperti Saintfiet, tetapi Filipina masih lagi mempunyai komposisi skuad yang berkualiti terutamanya di bahagian penjaga gol.
Dua daripada tiga penjaga gol Filipina merupakan nama yang tidak asing lagi iaitu Neil Etheridge dan Kevin Mendoza.
Etheridge merupakan penjaga gol berpengalaman luas dengan dia pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum beraksi di Thailand bersama Buriram United.
Etheridge merupakan pemain Filipina pertama beraksi di EPL.
Sementara Mendoza yang bersama Persib Bandung ketika ini, mempunyai pengalaman luas beraksi di Malaysia bersama Kuala Lumpur City FC.
Oleh itu, jika salah seorang diturunkan menentang Malaysia, pasti akan memberikan kesukaran buat penyerang Harimau Malaya untuk mendapatkan gol.
Ada yang sudah biasa
Selain daripada mempunyai bintang seperti Etheridge dan Mendoza di pintu gol, Filipina turut ada beberapa nama yang sudah biasa dengan bola sepak Malaysia.
Hal ini kerana, terdapat beberapa pemain dalam skuad The Azkals kali ini pernah atau masih beraksi di Liga Malaysia.
Christian Rontini pernah beraksi untuk Penang FC dan Kelantan FC.
Dalam senarai yang dipanggil, Jesper Nyholm (Perak FC) dan Patrick Reichelt (KL City) antara pemain Filipina yang masih beraksi di Liga Malaysia. Sementara Mendoza, Christian Rontini, Justin Baas antara yang pernah bermain di liga kita.
Pengalaman yang mereka peroleh sewaktu beraksi di Malaysia pastinya boleh dijadikan pembantu apabila berdepan Harimau Malaya.
Sedikit sebanyak, nama-nama tersebut mempunyai gambaran mengenai bagaimana beraksi menentang bintang Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram